KEADILAN dan Pakatan Harapan (PH) bertekad untuk menjadikan ekonomi Johor bertaraf dunia seperti Singapura.
Bercakap kepada wartawan selepas selesai proses penamaan calon, Dr Maszlee yang sah bertanding di DUN Layang Layang berkata, Johor mempunyai potensi yang banyak dan sumber alam untuk menjadikannya sebuah negeri pemain ekonomi peringkat antarabangsa.
"Tekad kami meletakkan Johor di peta dunia.
"Johor mempunyai sumber seperti negeri maju Selangor dan Pulau Pinang. Tetapi Johor ada potensi yang mereka tidak ada, iaitu mempunyai lokasi dekat dengan negeri termaju di Asia Tenggara, iaitu Singapura.
"Ini sepatutnya dijadikan peluang untuk menjadikan Johor rakan strategik dalam ekosistem perindustrian juga ekosistem pemacuan ekonomi untuk kita menjadi pemain ekonomi antarabangsa," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Simpang Renggam yang disebut sebut sebagai bakal calon Menteri Besar Johor sekiranya PH menang itu, kemajuan Johor perlulah didasari dengan ekosistem yang sesuai dan dirancang rapi untuk penduduknya.
Menurut Maszlee, kerajaan Johor seharusnya berkoloborasi dengan pihak industri dalam menyediakan tenaga kerja pakar yang diperlukan syarikat antarabangsa
"Koloborasi dengan pihak syarikat untuk TVET dan penguasaan bahasa Inggeris penting.
"Anak anak Johor perlu mendapat pendidikan berkualiti. Ketiganya, kita mahu kemajuan selari dengan kebajikan rakyat. Maka isu perumahan, pemilikan tanah adalah antara isu yang kita cuba selesaikan di Johor ini," katanya.
Beliau juga bertekad mahu menjadikan Johor sebagai negeri berkependidikan sebagai teras keeempat, dan menaikkan kualiti pendidikan rakyat negeri itu.
"Johor kita akan jadikan sebagai negeri berpendidikan. Kualiti pendidikan tinggi kita percikan dari Singapura. Johor wajar memberi pendidikan berkualiti untuk semua," katanya lagi.
Comments