'Tekad beri kefahaman Islam, mantapkan rohani anggota parti'
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 1 min read

Calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar bakal tampil dengan tiga tekad sekiranya diberi mandat memegang jawatan tersebut pada sesi pemilihan kali ini.
Ujar beliau, tekad pertama adalah memberikan tumpuan terhadap khidmat dalam pengkaderan dan memperkasakan ahli.
Kedua katanya, beliau berhasrat untuk memperkukuh hubungan parti dalam dan luar negara.

''Tekad saya yang ketiga pula adalah memberi kefahaman Islam kepada mereka yang beragama Islam dan melaksanakan pemantapan dari segi rohani dan moral kepada anggota parti yang bukan beragama Islam,'' katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Selangor itu menyifatkan semua calon yang bertanding adalah yang terbaik dan mempunyai kelebihan serta kekurangan masing-masing.
Oleh itu katanya, beliau cuba mengelak untuk menyerang sesama sendiri dan optimis parti akan tetap maju di pentas politik tanah air pasca pemilihan kelak.
''Siapa yang menang atau kalah, masih tetap boleh menyumbang khidmat untuk parti dengan peluang yang ada.
''Musuh sentiasa memerhati dan mencari peluang.. semoga apa saja keputusan yang akan keluar nanti, parti akan tetap maju dan kekal di persada politik negara,'' katanya lagi.