top of page

Tegas terhadap kartel manipulasi harga, bantu PKS - PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read
ree

Kerajaan MADANI mengambil pendekatan lebih tegas terhadap kartel dan manipulasi harga sambil memperluas sokongan kewangan serta kelonggaran cukai kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai sebahagian strategi menstabilkan kos sara hidup dan memperkukuh ekonomi domestik.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak akan tunduk kepada ugutan kartel yang cuba menaikkan harga barang asas dengan alasan penarikan subsidi atau peningkatan kos.


"Tiada siapa dihalang mencatat keuntungan tetapi kartel tidak boleh menggunakan keuntungan untuk mengugut kerajaan dan rakyat," katanya ketika menyampaikan Amanat Tahun 2026 di Putrajaya, semalam.


Hadir sama Menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan serta agensi.


Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi isyarat jelas bahawa jika kartel terus menaikkan harga besi, keluli, simen atau bahan asas, syarat import akan dilonggarkan bagi menurunkan kos pasaran walaupun langkah itu mungkin menjejaskan pemain tempatan tertentu.


Pendekatan ini pernah dibuktikan berkesan apabila subsidi ayam ditarik balik tanpa lonjakan harga, sekali gus mencabar naratif kartel, kata beliau.


"Kita pernah belanja RM1.2 bilion setahun untuk kawal harga ayam. Apabila bantuan ditarik, harga tidak naik. Ini membuktikan ketegasan kerajaan perlu," kata beliau.


Terdahulu beliau menjelaskan kerajaan memperluas pengecualian cukai perkhidmatan ke atas sewaan bagi Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan nilai jualan tahunan yang dikecualikan kini dinaikkan sehingga RM1.5 juta, berbanding RM500,000 sebelum ini.


Dalam perkembangan lain, Anwar berkata kerajaan bersetuju menangguhkan pelaksanaan e-Invois bagi syarikat dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta, dengan tempoh peralihan tanpa penalti dilanjutkan selama satu tahun lagi bermula 1 Januari 2026 berikutan kos pelaksanaan yang tinggi.


Bagi memastikan PKS tidak terkesan oleh pengetatan fiskal, kerajaan mengumumkan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) sehingga RM30 bilion dengan RM10 bilion khas Bumiputera


Dana pinjaman Bank Negara Malaysia (BNM) ditambah RM2.5 bilion dengan Skim Jaminan Pembiayaan PMKS sejumlah RM10 bilion


Dalam pada itu pembiayaan Bumiputera TEKUN Nasional ditingkat dari RM300 juta pada tahun lalu kepada RM500 juta tahun ini dengan sasaran 30,000 PMKS menerima manfaat pembiayaan


Kerajaan turut mengakui masalah aliran bantuan yang perlahan dan mengarahkan penyaluran dipercepatkan agar dana benar-benar sampai kepada usahawan kecil.


Bagi meredakan keresahan peniaga kecil, kerajaan mengumumkan beberapa pelarasan cukai penting bagi mengurangkan kos operasi dan mengelakkan tekanan harga kepada pengguna:



*Cukai perkhidmatan sewaan diturunkan daripada 8% kepada 6%


*Pengecualian cukai sewaan PMKS sehingga jualan tahunan RM1.5 juta


*Tangguh cukai perkhidmatan setahun bagi PKS baharu


*Pengecualian cukai jualan input bagi industri makanan ternakan, baja dan racun

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page