top of page

Tayangan perdana telemovie “DURIME”: Bukti industri kreatif berkembang

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 20 minutes ago
  • 2 min read

Yunes menyampaikan sedikit ucapan memuji pengkaryaan DURIME menonjolkan bakat tempatan
Yunes menyampaikan sedikit ucapan memuji pengkaryaan DURIME menonjolkan bakat tempatan

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran baru baru ini berkesempatan menghadiri tayangan perdana telemovie DURIME, sebuah karya tempatan hasil kerjasama Astro, yang disifatkan sebagai satu perkembangan positif dalam landskap industri kreatif negara.


Menurut beliau, DURIME merupakan naskhah komedi seram yang menampilkan gandingan pelakon veteran bersama bakat-bakat baharu, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian dan kematangan karya produksi tempatan.


"Saya melihat usaha ini sebagai satu perkembangan yang positif, bukan sahaja dari sudut hiburan, malah sebagai bukti bahawa industri kreatif tempatan terus subur dengan idea-idea segar serta kualiti produksi yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan media.


Yuneswaran turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI dalam memberi keutamaan kepada karya dan ciptaan tempatan, khususnya melalui pelbagai inisiatif sokongan di bawah Kementerian Komunikasi.


"Kerajaan MADANI sentiasa memberi keutamaan kepada karya dan ciptaan tempatan. Di bawah Kementerian Komunikasi, pelbagai inisiatif serta peruntukan telah disediakan bagi menyokong pembikin filem dan para penggiat seni agar industri ini dapat terus berkembang secara mampan," ujarnya.


Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa kerjasama strategik bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mampu membuka lebih banyak peluang untuk memperkasa industri filem Tamil tempatan.


"Melalui kerjasama strategik bersama FINAS, lebih banyak peluang dapat diwujudkan untuk memperkasa dan mengembangkan industri filem Tamil di Malaysia, sekali gus membuka ruang yang lebih luas kepada bakat tempatan untuk menembusi pasaran yang lebih besar," katanya.


Telemovie DURIME dijadualkan untuk ditayangkan di saluran Astro Vinmeen pada 17 Januari ini, jam 9.30 malam. Sehubungan itu, Yuneswaran merakamkan ucapan tahniah kepada pihak produksi Rendezvous Production, pengarah, krew serta barisan pelakon atas komitmen dan usaha yang ditampilkan.


"Penceritaannya benar-benar mencuit hati, dalam seram ada komedi. Saya syorkan anda menontonnya," kata beliau lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page