Tawar ganjaran RM10 juta bawa pulang Jho Low, bicarakan di mahkamah
- Suara Keadilan
- Jul 21
- 2 min read

Kehilangan watak penting dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low yang telah 'ghaib' sejak bertahun tahun tanpa diketahui jejaknya perlu digunakan pendekatan baharu untuk mengembalikan tumpuan pelbagai pihak kepada suspek.
Menurut Ahli Dewan Negeri Rawang, Chua Wei Kiat (gambar), kerajaan Malaysia seharusnya menggunakan taktik memberi ganjaran bernilai RM10 juta kepada mana mana pihak yang boleh menyalurkan maklumat sehingga Jho Low boleh dibawa pulang.
"Saya menyaran kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berani dan proaktif dengan menawarkan ganjaran kewangan kepada mana-mana individu, pihak swasta mahupun agensi penguatkuasaan luar negara yang mampu menyalurkan maklumat sahih hingga berjaya membawa pulang buruan utama kes 1MDB, iaitu Jho Low.
Kepulangan Jho Low adalah penting supaya dia dapat dibicarakan dan dikenakan hukuman yang setimpal seperti bekas Perdana Menteri Najib Razak. Orang yang terlibat dengan jenayah mesti berdepan dengan undang-undang, bukan melarikan diri seumur hidup," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Wei Kiat mencadangkan agar kerajaan memikirkan ganjaran yang munasabah diberi, kira kira 0.035% dari jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan kepada Malaysia, iaitu lebih RM29 bilion setakat ini.
Katanya tindakan memberi ganjaran bukanlah luar biasa atau tidak pernah dilakukan mana mana negara sebelum ini.
"Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, India dan China telah lama mengamalkan pendekatan ganjaran seperti ini, khususnya dalam memburu penjenayah dikehendaki, pengganas atau individu yang terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah rentas negara.
"Jika ganjaran RM10 juta ini mampu membawa pulang watak utama yang selama ini menghilangkan diri, ia adalah pelaburan keadilan yang berbaloi. Ia juga akan menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam membanteras rasuah berskala mega," katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pihak berkuasa Malaysia tidak akan lupa bahawa Jho Low bukanlah sekadar suspek biasa, beliau merupakan simbol kepada sistem yang dibolosi, institusi yang dimanipulasi dan kekayaan negara yang dicuri.
"Bagaimana keadilan boleh ditegakkan jika individu yang menyimpan kunci kepada keseluruhan skandal ini masih bebas dan terus menikmati kehidupan mewah di luar negara?
"Terbaharu, media antarabangsa mendedahkan bahawa Jho Low dipercayai kini menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.
"Semua individu yang terlibat dalam kes 1MDB mempunyai peranan dalam skandal 1MDB dan mesti sama-sama bertanggungjawab. Keadilan yang sebenar hanya boleh dicapai apabila semua yang terlibat, tanpa mengira pangkat atau kekayaan dibawa ke muka pengadilan," katanya lagi.
Tegas Ketua Cabang KEADILAN Selayang itu, kepulangan Jho Low itu juga penting bagi memastikan siasatan dan pendakwaan kes 1MDB dapat dilengkapkan sepenuhnya.
Hal itu, katanya, akan dapat membantu mengelakkan kejadian seperti keputusan DNAA (dilepas tanpa dibebaskan) daripada berulang hanya kerana kekurangan saksi utama dan bahan bukti tidak mencukupi.
Comments