Tatacara dunia berantakan ekoran pencerobohan AS di Venezuela
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Projek Stability and Accountability for Malaysia (Projek SAMA) menyambut baik pendirian tegas Malaysia menolak pencerobohan Amerika Syarikat (AS) ke atas Venezuela dan penculikan Presiden Nicolas Maduro sambil memberi amaran tindakan AS itu menandakan kemerosotan serius aturan antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua.
Projek SAMA dalam kenyataan menyifatkan tindakan AS sebagai pencerobohan imperialis yang secara terbuka bermotifkan penguasaan sumber petroleum sekali gus menafikan alasan rasmi berkaitan demokrasi dan keselamatan yang dikemukakan Washington.
Kenyataan Presiden Donald Trump bahawa kos pendudukan Venezuela akan ditampung melalui hasil sumber asli negara itu serta kemasukan syarikat minyak utama AS membuktikan operasi ketenteraan tersebut bertujuan menjajah secara ekonomi dan strategik.
"Ini bukan soal demokrasi atau narkoterorisme tetapi penjajahan moden berasaskan minyak," kata kenyataan itu.
Projek SAMA membandingkan pencerobohan AS di Venezuela dengan tindakan Rusia di Ukraine sambil menegaskan bahawa kedua-duanya mencerminkan corak sama iaitu kuasa besar menggunakan kekuatan ketenteraan untuk menundukkan negara berdaulat atas alasan yang dipolitikkan.
Menurut kenyataan itu trend ini mempercepatkan kejatuhan sistem antarabangsa yang dibina selepas perang dunia kedua 1945 bagi menghalang pengulangan penjajahan dan perang penaklukan.
"Dari Ukraine ke Venezuela, dunia sedang menyaksikan normalisasi pencerobohan imperialis oleh kuasa besar," katanya.
Projek SAMA memberi amaran bahawa tindakan AS boleh menjadi kes duluan berbahaya yang menggalakkan kuasa besar lain termasuk China untuk menggunakan kekerasan dalam pertikaian kedaulatan seperti di Selat Taiwan dan Laut China Selatan.
Dalam konteks Asia Tenggara, Projek SAMA mempersoal kewibawaan moral AS untuk campur tangan secara diplomatik dalam konflik serantau.
Projek SAMA menegaskan tindakan AS terhadap Venezuela melanggar Artikel 2(4) Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang melarang penggunaan kekerasan terhadap kedaulatan dan kemerdekaan politik sesebuah negara kecuali dalam kes pertahanan diri atau dengan mandat Majlis Keselamatan PBB.
Menurutnya pelanggaran oleh kuasa terbesar dunia telah menjejaskan kredibiliti undang-undang antarabangsa dan melemahkan mekanisme kolektif yang sepatutnya menghalang konflik berskala besar.
"Apabila undang-undang hanya dipatuhi secara selektif, ia berhenti menjadi norma dan berubah menjadi alat kepentingan."
Projek SAMA menekankan walaupun Venezuela berdepan krisis ekonomi, rasuah dan penindasan politik yang serius, perubahan rejim melalui pencerobohan asing tidak pernah menghasilkan demokrasi atau kestabilan.
"Demokrasi tidak boleh dipaksakan melalui pengeboman atau pendudukan ketenteraan," katanya.
Menurut kenyataan itu sejarah campur tangan ketenteraan membuktikan perubahan politik yang dipaksakan dari luar hanya memperdalam penderitaan rakyat, mewujudkan ketergantungan dan menanam benih ketidakstabilan jangka panjang.
Sehubungan itu, Projek SAMA menyeru agar ketegangan diredakan segera, pembebasan Presiden Maduro dan isteri beliau serta kembalinya semua pihak kepada meja diplomasi dan pendekatan pelbagai hala di bawah kerangka PBB.
Projek SAMA turut mengalu-alukan gesaan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Presiden Maduro dibebaskan dan menegaskan bahawa Malaysia perlu terus bersuara lantang demi mempertahankan prinsip kedaulatan, larangan penggunaan kekerasan dan hak menentukan nasib sendiri.





