Task force KKD - Kerajaan Negeri bakal diguna selesai masalah ketersambungan
- Suara Keadilan

- Mar 13, 2023
- 2 min read

Mesyuarat task force mengenai isu isu telekomunikasi, terutama ketersambungan (connectivity) di Johor antara Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama Kerajaan Negeri mungkin dijadikan formula untuk menyelesaikan masalah sama di negeri negeri lain pada masa hadapan.
Menteri KKD, Ahmad Fahmi Fadzil berkata konsep mesyuarat bersama yang diadakan hari ini boleh mencerakin masalah sebenar yang dihadapi bangsa Johor melibatkan kawasan luar bandar dan lain lain.
"Setelah 3 hari berada di Johor dan mendengar daripada warga KKD Johor serta interaksi saya dengan bangsa Johor amnya, saya sangat teruja dengan penerimaan dan isu yang dibangkitkan kepada kementerian, agensi atau dalam perbincangan saya dengan YB dan Datuk Menteri Besar (MB) Johor.
"Kita lihat banyak yang boleh diusahakan bersama di antara Persekutuan dan negeri sekiranya kerjasama itu erat. Semalam dalam pertemuan saya dengan MB antara isu yang kami bangkit dan bincang ialah isu internet, isu perkhidmatan (komunikasi) yang mungkin tidak pada tahap memuaskan.
"Datuk Onn (MB) telah meminta mesyuarat diadakan pagi ini pada 9.30, maka saya arahkan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Sri Mohammad Mentek dan wakil SKMM hadir dalam task force itu untuk kenal pasti masalah yang ditimbulkan melibatkan menara, program Jendela, isu ketersambungan dan perkara seperti itu," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan bantuan banjir kepada penduduk di Sungai Tiram, Johor.
Beliau turut berharap mesyuarat task force tersebut akan menjadi mesyuarat berkala bagi menyelesaikan secara tuntas masalah telekomunikasi dan hal hal berkaitan di Johor.
"Ini sangat penting kerana bila berlaku banjir, rakyat cuba keluar dari pandemik, ekonomi digital boleh kita wujudkan dengan capaian internet dan telefon yang baik. Kita boleh bangkit semula dengan pantas.
"Itu sebab mengapa kami setuju mesyuarat (dilakukan) kadar segera dan kami harap berkala serta bersifat task force. Sekiranya berjaya selesaikan masalah di Johor kita akan guna format ini di negeri lain," katanya.
Johor sebelum ini mengalami masalah ketersambungan internet agak buruk terutama di kawasan luar bandar.
Daerah bersempadan ibu negeri Johor Bahru misalnya mengalami gangguan internet di kawasan luar bandar, biar pun kedudukan berhampiran Singapura sehingga menjejaskan usaha meningkatkan pendapatan penduduk tempatan.




Comments