Menteri Sumber Manusia V Sivakumar menyambut baik keputusan pihak berkuasa kastam Amerika Syarikat (AS) yang menarik balik Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) terhadap Sime Darby Plantation (SDP).
Dalam satu kenyataan, Sivakumar menyifatkan ia satu perkembangan positif kepada pasaran eksport produk sawit negara.
Pihak kementerian jelasnya menghargai segala komitmen SDP memperkasakan aspek kesejahteraan pekerja selaras ketetapan digariskan di bawah undang-undang perburuhan serta instrumen antarabangsa seliaan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
"(Pihak) kementerian amat berpegang teguh kepada prinsip bahawa sebarang bentuk penindasan atau eksploitasi tidak boleh dikompromi dan kementerian juga telah mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan akan dikenakan hukuman tegas," katanya.
Pada Disember 2020, sewaktu pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional WRO dikeluarkan terhadap produk SDP susulan tuduhan penggunaan buruh paksa dalam proses pengeluaran produk.
Penunjuk itu melibatkan sekatan pergerakan, keganasan fizikal dan seksual, ugutan dan ancaman, penahanan dokumen pengenalan diri, menahan gaji dan kerja lebih masa berlebihan.
Pada April tahun lalu, SDP menghantar laporan kepada CBP dengan hasrat WRO ditarik balik.
Pada 31 Jan, CBP memutuskan produk minyak sawit dikeluarkan SDP tidak lagi menggunakan buruh paksa.
Comentarios