Tarif AS: Asas ekonomi M'sia kukuh, atur kerjasama ASEAN, GCC, China - PM
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Ekonomi Malaysia meskipun akan terjejas menghadapi kesan tarif dikenakan Amerika Syarikat (AS) sebanyak 24% namun negara sedang mengusahakan pelbagai cara agar kesannya minimum.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak bersendirian dalam menghadapi tarif timbal balik berkenaan tetapi akan bersama sama negara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China dalam kerangka ekonomi yang lebih besar.
"Negara sehaluan dengan kita meneruskan perbincangan agresif, ini termasuk ASEAN, China, Jepun.
"InsyaAllah akhir bulan ini kita anjurkan Sidang Kemuncak ASEAN bersama Majlis Kerjasama Teluk dan China, dan tentunya perkara ini menjadi agenda utama.
"Kita jangka akan menamatkan rundingan pembaikan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China dan dalam masa terdekat (akan) membuka ruang pelbagai pasaran," katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Khas Parlimen mengenai tarif Amerika Syarikat di Dewan Rakyat, pagi ini.
Menurut Anwar, Malaysia akan mencuba sedaya upaya mengurangkan kesan tarif kerana perdagangan dengan AS sebagai rakan dagang nombor satu amat besar jumlahnya.
Katanya, pada 2024 jumlah dagangan Malaysia-AS sekitar RM325 bilion bersamaan 11 peratus jumlah dagangan negara keseluruhan.
"AS juga merupakan destinasi terbesar eksport Malaysia berjumlah RM199 bilion. Iaitu 13% jumlah eksport negara. Manakala import cecah RM126 bilion. Iaitu 9% dari jumlah import. Kita punya lebihan dagangan RM72 bilion.
"Apa sahaja keputusan AS, jika tidak dikendali dengan berhemah dan bijaksana akan memberikan kesan kerana jumlah pelaburan AS keseluruhannya (sebanyak) RM166 bilion telah mewujudkan 200,000 pekerjaan di negara ini," katanya.
Bagaimanapun, kata Anwar pelaburan Malaysia di AS juga besar iaitu lebih RM35 bilion. Pelaburan berkaitan kerajaan dalam bon dan pasaran modal pula mencecah RM182 bilion.
Selain itu, PM turut memberitahu dewan bahawa ekonomi Malaysia pada waktu ini kukuh dalam menghadapi perang dagang AS dan rakyat tidak perlu terlalu khuatir.
"Perlu ditegaskan asas ekonomi kukuh dan kita mampu mendepani masalah ini. Ini melibatkan reformasi struktur bawah kerangka Ekonomi Madani, kerana setelah melihat makro ekonomi negara, kita berjaya mencatat pertumbuhan KDNK 5.1% pada tahun lalu. Berjaya kurangkan difisit fiskal dari 5.5% 2022 kepada 5.3% pada 2023 dan 4.1% defisit tahun lalu.
"Kadar inflasi 1.8% ketimbang 2.5% 2023, kadar pengangguran rendah, pelaburan diluluskan bagi tahun 2024 adalah sebanyak RM378.5 bilion, paras tertinggi dalam sejarah negara.
"Jumlah perdagangan pada 2024 RM2.9 trilion, peningkatan 9.2% dari 2023. Eksport meningkat 5.7% kepada RM1.5 trilion. Import meningkat 13% hampir RM1.4 trilion. Prestasi ini menghasilkan lebihan dagangan RM137 bilion berturut turut selama 27 tahun sejak 1998," katanya lagi.