top of page

Tangguh Program Bantuan Lesen Memandu, AMK Mas Gading mahu penjelasan

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Jul 2
  • 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Mas Gading, Sarawak menyifatkan penangguhan Program Bantuan Lesen Memandu (B2) pada saat akhir sebagai sesuatu yang mengecewakan kerana hal itu menjejaskan hampir 750 rakyat yang telah berdaftar untuk menerima manfaat program tersebut.


Ketuanya, Heikarl Edzha Zaini (gambar) berkata, beliau mengecam keras tindakan pihak tertentu yang didakwa telah menyebabkan Program Bantuan Lesen Memandu (B2) anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen P.192 Mas Gading bersama Institut Memandu Sematan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak didakwa berdepan halangan penggunaan dewan pada saat akhir sehingga program tersebut terpaksa ditangguhkan.


"Sekiranya benar wujud campur tangan sehingga sebuah program yang memberi manfaat kepada rakyat disekat pada saat akhir, tindakan itu adalah tidak bertanggungjawab serta bertentangan dengan semangat demokrasi dan khidmat kepada masyarakat.


"AMK Mas Gading menggesa agar pihak yang bertanggungjawab tampil memberikan penjelasan berhubung insiden berkenaan serta memastikan perkara seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.


"Kepentingan rakyat harus sentiasa mengatasi kepentingan politik. Program untuk rakyat (juga) wajar dipermudah, bukan disulitkan," katanya menerusi satu kenyataan.


Heikarl berkata, tindakan itu sebagai sesuatu yang tidak wajar kerana program tersebut bukan sebuah program berunsur politik, sebaliknya merupakan inisiatif kebajikan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat, khususnya golongan belia, pelajar, pencari kerja dan mereka yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan Lesen Memandu Kelas B2.


"Ramai dalam kalangan mereka telah mengambil cuti, mengatur perjalanan serta membuat persiapan awal untuk menghadiri majlis penyerahan tersebut, yang dijadualkan berlangsung pada 27 Jun lalu," ujarnya lagi.


Dalam pada itu, Heikarl berkata pihaknya menzahirkan sokongan penuh kepada Ahli Parlimen Mas Gading merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Mordi Bimol atas komitmen dalam memperjuangkan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page