Tangani kes kematian S Vinosiny lebih telus, terbuka - ADUN Bakar Arang
- Suara Keadilan
- May 25, 2022
- 1 min read

Kematian seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), tahun 2, mendiang Vinosiny Sivakumar yang ditemui meninggal dunia dalam bilik asrama pada 21 Mei lalu perlu ditangani secara telus dan terbuka.
Menurut ADUN Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min, pihak polis sepatutnya menyegerakan pengumuman hasil siasatan supaya punca kemalangan dan pihak bertanggungjawab dapat dikenalpasti.
Hal itu katanya, kerana terdapat dakwaan dua versi punca kematian.
"Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan, pelajar terbabit dipercayai mengalami serangan sawan, namun pihaknya masih menunggu laporan kimia berhubung kematiannya.
"Namun begitu, keluarga mendiang memaklumkan kepada MalaysiaKini terdapat kesan terbakar yang jelas di muka dan tangan kanan Vinosiny, manakala doktor yang menjalankan bedah siasat memberitahu punca kematian adalah kejutan elektrik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Simon lagi, pada masa sama bapa Vinosiny juga didakwa kesal dengan pengurusan UUM yang gagal memberi penjelasan jelas kepada keluarga mendiang berhubung insiden berkenaan.
"Dengan ini, saya meminta pihak polis dan pengurusan UUM supaya menangani insiden tersebut secara telus dan terbuka.
"Pihak berwajib harus mendedahkan perincian insiden sepenuhnya, serta memberi penjelasan yang kukuh bagi tragedi ini.
"Sekiranya punca kemalangan ini adalah disebabkan renjatan elektrik. Maka pihak universiti dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) harus bertanggungjawab penuh atas tragedi yang berlaku.
"Kampus universiti seharusnya menyediakan pelajar persekitaran yang selesa dan selamat untuk menuntut ilmu. Namun kebanyakan fasiliti di universiti awam yang usang dan rosak jelas menunjukkan pihak universiti dan KPT yang berkali-kali mengabaikan keselamatan pelajar," katanya lagi.
Tegas Simon, kematian Vinosiny pada Sabtu lalu jelas merupakan satu peringatan kepada pihak univerti dan KPT supaya segerakan penyelenggaraan fasiliti kampus sekiranya hal itu merupakan punca kemalangan agar tragedi seumpama itu tidak berlaku lagi.
Comments