
Kehidupan di ibu kota Kuala Lumpur yang tidak seimbang antara kaya dan miskin akan menjadi tumpuan untuk ditangani oleh calon Pakatan Harapan (PH) parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail.
Menurut beliau, masalah seperti itu banyak diajukan kepadanya ketika berkempen sejak 9 hari lalu.
"Kita tengok pelbagai faktor untuk fokus terhadap miskin bandar. Masalah ini paling tinggi di Bandar Tun Razak. Kerana dulunya (berlaku integrasi penduduk) kampung Congo, kampung lainnya. Jadi dia ada transisi antara kampung dan bandar, jadi ada gap yang boleh kita isikan supaya kualiti hidup ditingkatkan," katanya.
Selain isu miskin bandar, beliau juga dihujani masalah parking, kerosakan insfrastruktur dan sebagainya yang akan diusahakan untuk ditangani sekiranya diberi peluang mempertahankan kerusi PH Bandar Tun Razak.
"Kita ada isu bersamaan, isu PPRT dan tempat awam lain.
"Kita kena tangani masalah, bukan sahaja masalah parking tetapi parking yang sesuai. Dia buat parking tetapi kena bayar, ada tidak mampu seperti berpendapatan rendah, peniaga kecil. Kita kena bincang dengan pihak berkuasa dan sebagainya dalam isu ini.
"Ada juga masalah parit tersumbat juga projek tergendala 8 tahun. Kita kena tangani secara bersama," katanya.
Mengulas pertanyaan media bahawa pengisytiharan harta yang dilakukan oleh PH hanyalah gimik pilihan raya, Dr Wan Azizah tidak setuju dengan tuduhan itu.
Katanya, isytihar harta penting bagi ketelusan dan rakyat boleh membandingkan harta wakil rakyat sebelum dan selepas menang di sesuatu kawasan.
"Kalau nak jadi wakil rakyat kamu ada duit banyak mana. Lepas itu, setahun dua tiba tiba kaya. Kalau dia dah memang kaya tak mengapa. Jadi bila kita isytihar kita tahu (banyak mana harta wakil rakyat). Ini ketelusan dan saya rasa ia baik," katanya.