Presiden Amanah, Mohamad Sabu membangkitkan isu yang sering dijadikan perdebatan dalam kalangan rakyat kononnya selepas menandatangani memorandum kerjasama (MoU) Pakatan Harapan (PH) akan bersetuju dengan semua perkara yang dirundingi terlebih dahulu dengan kerajaan Perikatan Nasional, termasuk Belanjawan 2022.
Menurut Ahli Parlimen Kota Raja itu, dalam Belanjawan, perkara yang dipersetujui bersama adalah hal-hal pokok tetapi pelaksanaannya di peringkat kementerian masih perlu dipantau oleh pembangkang dan sebarang kelemahan akan menjadi hujah berbahas di Dewan Rakyat.
"Bagi kita yang menandatangani persefahaman ramai menganggap kita setuju semua benda dengan kerajaan. Kita bersetuju perkara pokok tetapi pelaksanaan itu kita tidak kawal. Misalnya nak menghabiskan peruntukan itu kita tidak kawal. Kementerian mana dapat berapa bilion, itulah peranan yang akan dimainkan oleh Ahli Parlimen PH, untuk mempersoalkan dan mendedahkan penyelewengan yang berlaku.
"Perkara ini adalah besar, bila kita lihat indeks korupsi meningkat maknanya penyelewengan meningkat. Peranan ini hendaklah dimainkan oleh Ahli Parlimen pembangkang, seperti kita lihat sidang Parlimen lalu Ketua Pembangkang memainkan peranan bangkitkan Pandora Papers dan sebagainya," katanya dalam sidang media di Bilik Taklimat bangunan sementara Parlimen, tengah hari tadi.
Oleh itu, Mohamad membawakan contoh isu penyelewengan di Kementerian Pertahanan yang sehingga hari ini masih dipersoalkan oleh PH pada bulan Oktober lalu, dan tidak dibiarkan berlalu begitu sahaja meski pun selepas MoU ditandatangani pada 13 September.
"Saya yakin perdebatan akan hangat untuk hal ketirisan, macam dalam Kementerian Pertahanan dulu disiasat oleh Tan Sri Ambrin Buang bagaimana soal tanah hilang RM500 juta. Beli kapal dan sebagainya. Bajet indah tetapi perlu dipantau," katanya lagi.
Comments