
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sumbangan bantuan RM10,000 kepada setiap mangsa yang terkorban dan RM1,000 bagi setiap keluarga yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di Batang Kali pada Jumaat.
Beliau yang hadir ke tapak kejadian tanah runtuh kira-kira jam 9.30 malam tadi menzahirkan rasa sedih dan simpatinya terhadap keluarga mangsa terlibat selain merakamkan penghargaan kepada anggota penyelamat yang telah mengambil risiko keselamatan dalam usaha mencari mangsa di tengah-tengah cuaca yang tidak menentu.
"Saya hanya mengulangi, pertamanya, rasa sedih dan duka cita tragedi yang menimpa keluarga ramai termasuk anak kecil dan ibu.
"Saya juga nak zahirkan penghargaan tinggi pengorbanan petugas bomba dan petugas keselamatan yang bekerja dalam keadaan berisiko," jelasnya kepada media.

Terdahulu Anwar meluangkan masa kira-kira satu jam mendengar taklimat mengenai operasi mencari dan menyelamat di lokasi kejadian.
Turut hadir, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Sebanyak 21 kematian disahkan setakat ini dan 12 lagi mangsa belum ditemui.
Difahamkan kerja-kerja mencari dan menyelamat dihentikan sementara susulan hujan di kawasan kejadian dan bakal disambung semula apabila keadaan mengizinkan.
Sementara itu Anwar ketika mengulas mengenai bantuan berkenaan menambah, bantuan akan disalurkan oleh Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melalui Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor atas kapasitinya selaku pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Selangor.
"Saya akan arahkan pegawai esok, saya lebih bersetuju hal diselaraskan pasukan di bawah Kerajaan Negeri Selangor agar dapat mengendali lebih baik.
"Pihak Persekutuan akan uruskan esok, InshaAllah terserah kepada Menteri Besar untuk uruskan sebaiknya," katanya lagi.
Ditanya sama ada akan ditubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat punca kejadian tanah runtuh itu, Anwar berkata, keputusan mengenainya akan dibuat setelah semua laporan berhubung kejadian diteliti.
"Ini kita tunggu laporan awal dari Ketua Polis Negara dan pihak bomba dan semua pasukan akan berikan laporan.
"Saya tidak mahu mendahului laporan mereka, biar kita tunggu dulu. Perhatikan laporan dan ambil tindakan sebaik kita meneliti semua laporan itu,” katanya dipetik.