top of page

Deeming Provision mulai 2026, MCMC perjelas tanggungjawab platform digital

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read
ree

Berkuat kuasa mulai 1 Januari depan, penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial utama seperti WhatsApp, Telegram, Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube dianggap berdaftar sebagai pemegang lesen di Malaysia selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh kawal selia platform digital berskala besar.


Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan berkata semua penyedia perkhidmatan dengan lapan juta atau lebih pengguna di Malaysia yang tertakluk kepada rangka pelesenan Applications Service Provider Class (ASP(C)) dianggap berdaftar secara automatik melalui pelaksanaan Deeming Provision di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.


"Langkah ini memastikan penyedia perkhidmatan berskala besar yang menawarkan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial kepada pengguna di Malaysia beroperasi dalam rangka undang-undang dan kawal selia negara secara teratur, konsisten dan berkesan," kata kenyataan itu hari ini.


Pelaksanaan Deeming Provision akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 dan hanya terpakai kepada penyedia perkhidmatan yang memenuhi kriteria ditetapkan.


Menurut MCMC, pendekatan tersebut selaras dengan rangka pelesenan perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang telah mula dikuatkuasakan pada awal tahun ini dengan matlamat memperkukuh tahap pematuhan dan akauntabiliti platform digital.


"Pendekatan ini juga sejajar dengan rangka pelesenan sedia ada bagi memperkukuh akauntabiliti dan pematuhan kepada undang-undang Malaysia," jelas suruhanjaya itu.


MCMC menegaskan, antara keutamaan utama langkah ini adalah memastikan tanggungjawab lebih jelas terhadap keselamatan pengguna khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga.


"Inisiatif ini memastikan semua platform yang terlibat memikul tanggungjawab yang lebih jelas terhadap keselamatan pengguna terutamanya dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga," menurut kenyataan tersebut.


Mengenai kebimbangan kemungkinan gangguan perkhidmatan, MCMC menjelaskan penyedia terlibat akan terus mengendalikan platform global mereka seperti biasa tanpa perubahan cara pengguna mengakses perkhidmatan.


"Penyedia perkhidmatan yang terlibat akan terus mengendalikan platform global mereka seperti biasa," kata MCMC.


Menurut suruhanjaya itu lagi, pendekatan yang diambil adalah selari dengan amalan antarabangsa dalam mengawal selia platform dalam talian berskala besar.


MCMC turut menjelaskan bahawa penyedia perkhidmatan yang sudah berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) tidak terkesan serta-merta susulan pelaksanaan baharu ini.


"Penyedia perkhidmatan yang berdaftar sebagai pemegang lesen ASP(C) akan kekal berdaftar dan ia hanya akan berkuat kuasa selepas tempoh pendaftaran sedia ada mereka tamat," menurut kenyataan itu.


MCMC menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan serta agensi penguatkuasaan lain bagi memperkukuh keselamatan dalam talian demi kepentingan pengguna di Malaysia.


"MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan dan agensi penguatkuasaan bagi memperkukuh keselamatan dalam talian khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga," katanya.


Maklumat terperinci berhubung pelaksanaan Deeming Provision ini boleh dirujuk melalui laman rasmi MCMC.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page