Tambahbaik internet, infra digital, dorong kemajuan pelancongan Sabah
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Usaha peningkatan kualiti internet di destinasi pelancongan di Sabah disambut baik namun penambahbaikan perlu dibuat secara menyeluruh ke semua daerah khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Setiausaha Pertubuhan Memperkasa Anak Sabah (Permas), Muhammad Haji Sulaiman berkata, liputan internet yang baik membolehkan pelancong mengakses maklumat dengan mudah, membuat tempahan dalam talian, dan berkomunikasi dengan penyedia perkhidmatan pelancongan.
"Zaman sekarang kebanyakan pelancong tidak lagi membawa wang tunai. Sekiranya penduduk kampung ingin berniaga atau menjual cenderamata, ketiadaan sambungan internet menyebabkan mereka kehilangan peluang menjana pendapatan.
"Di mana-mana di Sabah kalau kita pergi, memang internet menjadi masalah utama. Isu ini berlarutan berbelas tahun lamanya.

"Kita memang hargai usaha kerajaan untuk menambahbaik prasarana dan infrastruktur telekomunikasi.
"Tapi kalau usaha tersebut dapat dilakukan lebih banyak dan segera di kawasan-kawasan pelancongan di seluruh Sabah, tentu lebih baik," kata Muhammad kepada Suara Keadilan.
Beliau mengulas inisiatif Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru baru ini yang menjalankan sesi pengujian kualiti liputan komunikasi di kawasan pelancongan Sepilok, Sandakan, Sabah untuk menilai prestasi perkhidmatan rangkaian mudah alih dan kualiti internet sedia ada.
Difahamkan pengujian ini dijalankan di Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sabah yang berada di bawah seliaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, dan Rainforest Discovery Centre yang diselia Jabatan Perhutanan Sabah.
Program pengujian kualiti internet itu turut melibatkan beberapa penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih (telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL dan TM Tech.
Dalam pada itu Muhammad memaklumkan terdapat banyak lokasi pelancongan seperti di Kudat dan daerah -daerah lain yang memiliki pantai yang menarik dan menyediakan perkhidmatan sukan rekreasi air, selain hutan yang menawarkan program ‘jungle trekking’ dan perkhemahan.
Namun katanya, penyedia perkhidmatan sektor pelancongan di situ berdepan cabaran untuk membuat promosi seperti memuatnaik kandungan kreatif video dan poster susulan liputan telekomunikasi yang tidak meluas.
Beliau turut mencadangkan pusat internet yang murah dan mudah di kawasan tersebut kerana penduduk tidak mampu melanggan perkhidmatan internet tetap, menjadikan liputan mudah alih sebagai satu keperluan kritikal.
"Masih ada masa kira-kira lapan bulan sebelum kempen Tahun Melawat Malaysia bermula. Kita perlu bersiap sedia dari sekarang untuk menarik pelancong dan memastikan komuniti setempat turut mendapat manfaat ekonomi.
"Sayang sekali jika kita tidak manfaatkan potensi besar yang ada. Sabah sudah dikenali sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, namun infrastruktur digital kita masih ketinggalan, dan ia perlu ditambah baik," katanya lagi.