top of page

Tamatkan penjualan NGV langkah tepat - Gabungan Teksi Malaysia

Updated: Nov 6



Gabungan Teksi Malaysia menyambut baik langkah berani Kementerian Pengangkutan mengumumkan penamatan penjualan gas mampat asli (NGV) untuk kenderaan secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya pada Julai tahun depan.


Yang Dipertuanya, Kamarudin Hussain berkata pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengenai perkara itu memberi jawapan sebenarnya kepada teka-teki yang selama ini bermain di minda puluhan ribu pemilik kenderaan khususnya pemandu teksi.


"Kami merasakan pengumuman yang dibuat oleh YB Menteri itu lebih bermaruah dibandingkan dengan tindakan Petronas sebelum ini yang memberhentikan penjualan NGV di kebanyakan stesen NGV secara senyap-senyap sehingga menyebabkan ramai ahli kami terkesan dan mengambil langkah menanggalkan sistem NGV dalam teksi mereka tanpa sebarang pampasan.


"Tetapi YB Menteri memaklumkan Petronas akan menanggung segala kos pembukaan sistem NGV dalam teksi serta membayar pampasan RM3,000 dalam bentuk baucar bahan bakar petrol, bagi kami itu lebih baik daripada satu persatu stesen NGV ditutup dan ahli-ahli tidak menerima sebarang pampasan," katanya dalam kenyataan.


Kamarudin berkata sebenarnya sejak enam hingga tujuh tahun lalu, mereka telah mengetahui hasrat Petronas untuk menghentikan penjualan NGV antaranya dikatakan sebab mengalami kerugian tinggi selain dibebani dengan aspek keselamatan berikutan masalah alat ganti di pam mereka.


"Dalam sesi perbincangan bersama pihak Petronas di Kuala Lumpur pada akhir 2020, kami pernah menuntut Petronas membuat pengumuman rasmi menghentikan penjualan NGV dan membayar ganti rugi kepada pemilik-pemilik kenderaan khususnya teksi, tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku dan pemilik kenderaan terus menghadapi masalah mendapatkan bekalan NGV apabila Petronas menutup banyak stesen NGV secara senyap," jelasnya.


Justeru itu, Kamarudin berkata pengumuman yang dibuat Menteri Pengangkutan memberi gambaran sebenarnya jangka hayat penjualan NGV di negara ini bagi tujuan kegunaan perkhidmatan dan pengangkutan.


"Mengimbau kembali sesi kunjungan hormat kami di Pejabat Perdana Menteri pada November tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah memaklumkan kepada kami bahawa kerajaan akan memberi subsidi bahan bakar Petrol kepada kami.


"Kami yakin kos bahan bakar kami akan terus terkawal dengan subsidi berkenaan apabila ia dilaksanakan kelak," katanya.


Semalam Loke mengumumkan penjualan runcit gas NGV akan dihentikan sepenuhnya bermula 1 Julai tahun depan bagi tujuan keselamatan pengguna dan orang ramai.


Beliau ketika mengumumkan perkara itu berkata selaras dengan keputusan tersebut, kerajaan akan memberikan insentif kepada pemilik NGV berdaftar melalui program bantuan peralihan kenderaan NGV iaitu pemandu teksi NGV akan menerima e-baucar RM3,000 menerusi aplikasi Setel sehingga 31 Disember ini.


"Bagi memastikan peralihan yang lancar, kerajaan turut memberikan program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV kepada pengguna yang layak.


"Semua keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 2 Oktober 2024 berkaitan dengan hala tuju penggunaan bahan api gas asli mampat atau NGV bagi kenderaan motor di Malaysia," katanya ketika sidang media khas NGV di Cheras, Kuala Lumpur semalam.


Loke berkata, pemilik kenderaan dwi bahan api pula akan diberikan pakej untuk menanggalkan peralatan NGV secara percuma dengan tarikh tutupnya pada 30 April 2025 manakala pemilik kenderaan NGV tunggal ditawarkan pembayaran sekali bayar dengan permohonan boleh dibuat melalui laman web www.peralihanngv.com.


Dalam pada itu, data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan lebih 95 peratus kenderaan NGV berdaftar adalah kenderaan menggunakan petrol yang diubah suai dengan kit/komponen bagi NGV (dual-fuel) manakala kategori kedua adalah kenderaan import khusus menggunakan NGV sahaja (monofuel).


Ketika ini terdapat kira-kira 44,383 kenderaan aktif berdaftar dengan NGV di dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu 9,509 teksi dan kereta sewa pandu, kenderaan pendaftaran persendirian (32,137), bas dan lori (2,150) dan 587 unit kenderaan/jentera.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page