Takaichi bakal temui Anwar dalam penampilan diplomatik sulung
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri Jepun yang baharu dilantik, Sanae Takaichi (gambar) dilapor sedang mengatur pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena mesyuarat berkaitan ASEAN–Jepun hujung minggu ini.
Pertemuan itu akan menjadi penampilan diplomatik pertama Takaichi selepas mencatat sejarah sebagai perdana menteri wanita pertama Jepun.
Langkah beliau memilih Malaysia sebagai antara destinasi awal dianggap mencerminkan keyakinan berterusan Tokyo terhadap dasar luar Malaysia yang sederhana, berprinsip dan diterajui oleh Anwar.
Menurut laporan Agensi Berita Kyodo, Jepun amat mementingkan hubungan dengan negara-negara di Asia Tenggara, kawasan yang menempatkan laluan laut utama dan strategik serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan.
Takaichi dijangka turut mengumumkan pemberian peralatan pertahanan kepada Malaysia sebagai sebahagian usaha memperkukuh kerjasama keselamatan serantau.
Terdahulu, Anwar dalam ucapan tahniahnya kepada Takaichi menyifatkan pelantikan tersebut sebagai detik penting dalam landskap politik Jepun, dan simbol kemajuan peranan wanita dalam kepimpinan tertinggi negara itu.





