Berbanding warga kota lain yang menghabiskan cuti awal tahun baharu 2024 dengan aktiviti santai atau beriadah bersama keluarga, menteri Wilayah Persekutuan yang baharu Dr Zaliha Mustafa memilih untuk 'meronda' ibu kota Kuala Lumpur dan menyelami masalahnya dengan mendapatkan pandangan terus daripada warga kota.
Pagi tadi, Dr Zaliha meninjau beberapa kawasan utama tumpuan warga Kuala Lumpur dan melihat sendiri masalah yang dialami mereka untuk beliau mencerna kerumitannya dan mencari jalan penyelesaian.
"Ambil kesempatan pagi ini meninjau kawasan sekitar Kuala Lumpur bagi memahami sendiri isu-isu dan permasalahan setempat yang saya kira boleh ditambah baik dan diselesaikan.
"Bermula dengan isu kebersihan dan keselamatan di sekitar Masjid Jamek, kawasan River of Life, perjalanan saya diteruskan dengan melihat isu-isu gelandangan dan isu lambakan warga asing di Jalan Silang dan beberapa jalan utama di Kuala Lumpur.
"Saya ambil kesempatan ini juga untuk mendengar sendiri pandangan dan keluhan para peniaga di sekitar Kuala Lumpur," katanya dalam catatan di Facebook.
Sehubungan itu, Dr Zaliha berjanji untuk mencari jalan penyelesaian ke atas beberapa masalah yang beliau kenalpasti dan berharap usaha menangani isu isu berbangkit itu tidak akan mengambil masa yang lama.
"InshaAllah, kita akan bersama-sama berganding bahu bagi meningkatkan kualiti kehidupan warga Kuala Lumpur dan menangani isu-isu legasi yang perlu dinoktahkan segera," kata Zaliha lagi.
Comments