Tahanan di rumah: Pindaan Akta Penjara dibentang sesi Parlimen akan datang
- Suara Keadilan
- May 18
- 1 min read

Draf pindaan Akta Penjara 1995 kini dalam proses semakan Jabatan Peguam Negara dan dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada sesi akan datang.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pindaan itu turut merangkumi penggubalan akta baharu berkaitan penahanan di rumah, selaras dengan pendekatan yang lebih manusiawi serta berorientasikan pemulihan dalam komuniti.
"Dalam penjara sekarang ada 81,000 (tahanan) dan 27,000 adalah (tahanan) reman yang terbahagi kepada dua iaitu kesalahan berat dengan bukan kesalahan berat.
"Jadi kalau kita buat tahanan rumah, pertama sasaran kita adalah mereka yang direman supaya mereka boleh berada bersama keluarga dan kita pakaikan peranti percubaan.
"Langkah ini lebih manusiawi sekaligus membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Penjara ke-235 di Padang Kota Lama, Georgetown pada Sabtu. Majlis tersebut disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak.
Sementara itu Saifuddin turut menegaskan bahawa pelaksanaan tahanan rumah akan disertakan dengan garis panduan dan peraturan ketat bagi menjamin keberkesanan serta keselamatan semua pihak.
Comments