Tadbir urus cemerlang, integriti, ramai 'panas' mahu jatuhkan PM?
- Akmal Manaf
- 53 minutes ago
- 2 min read

Usaha berterusan pelbagai pihak untuk menjatuhkan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim, didakwa berpunca daripada ketegasan Kerajaan MADANI memperkukuh tadbir urus, memperketat integriti serta tidak lagi bertolak ansur terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Bagi Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong Kian Young, pendekatan seperti itu tentunya mengganggu pihak-pihak yang selama ini selesa dengan budaya lama.
"Sebagai seorang wakil rakyat, saya percaya kepimpinan mesti diukur melalui amanah, bukannya kekayaan yang dikumpulkan ketika memegang jawatan.
"Sebab itu saya menghormati ketegasan PM Anwar yang secara terbuka menegaskan bahawa beliau tidak datang ke Johor untuk mengambil tanah, projek atau saham bagi kepentingan diri.
"Prinsip seperti itu yang rakyat mahu lihat daripada setiap pemimpin," katanya menerusi satu kenyataan.
Namun, David Cheong berkata rakyat masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk kos memiliki rumah, kemudahan asas, penyelenggaraan infrastruktur serta peluang ekonomi yang memerlukan perhatian dan penyelesaian berterusan.
Sehubungan itu, beliau berpandangan politik tidak seharusnya tertumpu kepada usaha menjatuhkan seseorang pemimpin atau kerajaan, sebaliknya parti-parti politik perlu berlumba-lumba mengemukakan penyelesaian terbaik bagi menangani permasalahan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan mereka.

"Akhirnya, biarlah rakyat menjadi hakim yang adil. Nilailah seseorang pemimpin berdasarkan rekod pentadbiran, integriti, dasar dan hasil kerja yang telah dibuktikan, bukannya persepsi, fitnah atau tohmahan yang sengaja dimainkan untuk meraih sokongan politik.
"Dalam konteks PM Anwar, penilaian sewajarnya dibuat berdasarkan pencapaian kerajaan seperti pertumbuhan ekonomi negara yang kekal kukuh, peningkatan pelaburan berkualiti, usaha memperkukuh disiplin fiskal melalui reformasi subsidi bersasar serta komimtmen memperkasakan tadbir urus dan membanteras rasuah.
"Malaysia memerlukan lebih ramai pemimpin yang berani mempertahankan prinsip, walaupun berdepan tekanan politik.
"Saya percaya rakyat hari ini semakin bijak membezakan antara politik demi kuasa dengan politik demi masa depan negara," ujar beliau yang juga Pengerusi Biro Perpaduan Nasional MPN KEADILAN Selangor.
