Tadbir urus baik perlu jadi teras pembangunan ekonomi Islam - PM
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu aspek tadbir urus yang baik dan dasar makroekonomi yang jelas perlu menjadi teras kepada pembangunan ekonomi Islam yang lebih berdaya saing, adil dan mampan.
Perdana Menteri berkata kejayaan sektor kewangan Islam selama ini perlu dilihat semula secara kritis agar selari dengan prinsip maqasid al-shariah yang merangkumi keadilan, kemaslahatan, kemampanan dan kesejahteraan masyarakat.
"Kita tidak boleh hanya berpuas hati dengan pencapaian mengelakkan riba semata-mata, malah harus memperkukuh dasar dan pelaksanaan supaya membawa manfaat yang lebih meluas kepada rakyat dan negara," katanya ketika berucap melancarkan Pusat Kecemerlangan bagi Penyelidikan dan Inovasi Ekonomi Islam (i-RISE) di Auditorium Sasana Kijang, Bank Negara semalam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memetik pandangan tokoh perintis pemikiran ekonomi Islam seperti Nejatullah Siddiqi, Umer Chapra dan Umar Zubair yang menyeru agar pendekatan ekonomi Islam diperkasakan seiring dengan cabaran semasa.
Menurut beliau kelemahan utama dalam pembangunan ekonomi Islam antaranya adalah kurangnya penekanan terhadap aspek tadbir urus yang baik serta kejelasan dasar makroekonomi.
"Negara-negara Islam secara umumnya tidak miskin, tetapi masalah kemiskinan wujud kerana amalan rasuah dan salah guna kuasa yang berleluasa. Ini adalah isu asas yang mesti kita tangani jika mahu membina sistem ekonomi Islam yang benar-benar berintegriti," tegas beliau.
Dalam konteks ini, Anwar memuji inisiatif penubuhan i-RISE oleh Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan dalam Kewangan Islam (INCEIF) sebagai langkah penting bagi memperkukuh penyelidikan dan dasar dalam bidang ekonomi Islam.
Namun beliau menggesa supaya aspek tadbir urus turut dimasukkan sebagai teras utama dalam kajian dan pembangunan dasar.
"Kita perlukan dasar yang jelas, institusi yang kuat dan pelaksanaan yang telus untuk menarik pelaburan domestik dan asing. Ini penting bagi Malaysia sebagai negara perdagangan," katanya.
Beliau turut menekankan perlunya strategi yang menyeluruh dalam memajukan industri halal, bukan sekadar terhad kepada pensijilan, tetapi melibatkan pengembangan pasaran baharu serta kerjasama perniagaan strategik.
"Saya baru berbincang dengan Presiden Poland [Andrzej Duda] yang kini mempengerusikan Kesatuan Eropah. Mereka berminat meneroka kerjasama dalam industri halal. Kita mesti bijak memanfaatkan peluang ini dengan strategi yang tepat," jelasnya.
Anwar juga mengingatkan bahawa konsep kemampanan dalam konteks Islam tidak boleh disamakan sepenuhnya dengan tafsiran Barat, sebaliknya mesti berlandaskan nilai keadilan, belas kasihan dan kemanusiaan.
"Isu kemiskinan tegar, perubahan iklim, penglibatan wanita dan keperluan tenaga kerja masa depan dalam era kecerdasan buatan dan transformasi digital mesti diberi perhatian dalam agenda ekonomi Islam," tambah beliau.
Comments