Tabika khas untuk anak autisme di setiap daerah menjelang 2027
- Suara Keadilan

- Jun 20
- 1 min read

Kerajaan MADANI mensasarkan satu Taman Bimbingan Kanak-Kanak Khas (Tabika) atau dikenali sebagai Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di setiap daerah menjelang 2027.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan dalam memastikan tiada anak-anak berkeperluan khas dan autistik tercicir daripada mendapat pendidikan awal.
"InsyaAllah, menjelang tahun 2027, kita menyasarkan sekurang-kurangnya satu tabika khas ini diwujudkan di setiap daerah seluruh negara.
"Apa yang sedang kita lakukan ini bukan perkara biasa. inilah anjakan yang dituntut oleh zaman, dimahukan oleh ibu bapa," katanya dipetik pada majlis sambutan Hari Pendidik KEMAS, di Bangi pada Khamis.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, inisiatif tersebut akan dimulakan dengan projek rintis menerusi pengoperasian tiga Tabika Tunas Istimewa@KEMAS di Melaka pada tahun ini.
Sementara itu Ahmad Zahid berkata, KEMAS mengendalikan lebih 10,567 Tabika dan 577 Taska di seluruh negara, menyantuni seramai 221,012 pelajar kecil daripada pelbagai latar belakang.
Selain itu, KEMAS juga berjaya melahirkan seramai 61,032 huffaz cilik menerusi 4,329 pra-tahfiz tabika.
"Justeru pendidikan KEMAS perlu dilihat sebagai teras penting dalam membina generasi masa hadapan yang holistik, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran.
"Pendidikan yang dilaksanakan oleh KEMAS tidak lagi boleh dilihat sebagai pelengkap. Ia mesti menjadi wahana utama dalam membina insan yang holistik, berintegriti dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan
"Kementerian juga sedang mengambil langkah proaktif dengan menyemak semula skim gaji warga pendidik KEMAS bagi memartabatkan peranan serta memastikan kebajikan mereka lebih terjamin," tambahnya.









Comments