top of page

Suruhanjaya Sempadan: Rundingan, perbincangan langkah lebih praktikal

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 minutes ago
  • 1 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Kerajaan buat masa ini tidak bercadang meneruskan penubuhan Suruhanjaya Sempadan, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama serta perbincangan dengan negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Singapura khususnya melibatkan isu sempadan berskala besar termasuk perairan.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) berkata, beliau mengambil perhatian terhadap gangguan yang dihadapi Petronas seperti yang dinyatakan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).


''Tapi tidak sampai ke tahap di mana kita (kerajaan) harus menghubungi Presiden Prabowo kerana umumnya hubungan dengan Indonesia itu baik, dan soal sempadan ini kita leraikan sebagai sahabat.


''Petronas hanya menjalankan aktiviti cari gali di kawasan yang memang menjadi milik kita dan tidak menceroboh ke kawasan lain.


''Ada kes pencerobohan nelayan, sama ada dari Malaysia ke Indonesia atau Indonesia ke Malaysia, itu kita cuba leraikan dengan baik.


''Perundingan juga sudah dicapai, tapi ada beberapa yang masih belum dimuktamadkan termasuk Ambalat,'' katanya ketika Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Tuan Ibrahim sama ada kerajaan berhasrat menubuhkan satu suruhanjaya tetap persempadanan negara-negara ASEAN supaya isu-isu persempadanan ini bukan sahaja tidak mengganggu, malah tidak mencetuskan suasana yang tidak selamat di rantau ASEAN.


Berkenaan dengan keperluan sistem pertahanan pula, Anwar berkata secara umumnya kerajaan bersetuju atas prinsip 'centrality'.


''Kita tidak mahu kuasa besar menangguk di air keroh kemudian melanggar kedaulatan kita.


''Cuma belum sampai ke situ.. kerjasama beberapa negara seperti Singapura, Indonesia dan Thailand itu memang agak meningkat, tapi tentunya agak terlalu awal untuk mencapai kesepakatan kerjasama sempadan,'' katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page