Surat terbuka: 'Jika Kamil menang Ketua AMK, tugas utama mansuh AUKU'
- Suara Keadilan
- Apr 28
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mempunyai satu perjuangan besar yang telah diuar uarkan sejak dua dekad lalu, iaitu memansuhkan Akta Universiti Dan Kolej Universiti (AUKU).
Dalam surat terbuka dari aktivis KEADILAN Cabang Batu, Rozan Azen Mat Rasip hari ini, beliau membangkitkan perjuangan untuk memansuhkan AUKU yang perlu dilihat semula oleh calon Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim sekiranya beliau ditakdirkan berjaya memimpin sayap pemuda itu.
Menurut Rozan, sekiranya Kamil menang maka sebaik baiknya beliau mengangkat perjuangan memansuhkan AUKU sebagai keutamaan.
''Dalam keyakinan Kamil Munim menang jawatan Ketua AMK Malaysia, sebagai seorang pemimpin muda yang dapat membawa, lalu diterjemahkan cita-cita iltizam itu dalam kerajaan, maka misi besar buat beliau adalah perlu membuktikan bahawa AMK Malaysia tidak berkekalan dalam kelangsungan retorik politik dalam beberapa isu.
''Ianya tidak lain tidak bukan tentang usaha AMK Malaysia ke arah pemansuhan AUKU sepertimana dihasratkan dan dibawa oleh KEADILAN sejak penubuhannya 26 tahun lalu bersama gelombang reformasi kebangkitan rakyat,'' katanya dalam surat terbuka hari ini.
Rozan menyifatkan, pemansuhan AUKU adalah hasrat kepada kesinambungan memulihkan autonomi universiti dan kebebasan akademik sama ada dalam kalangan pensyarah atau pelajar.
Katanya, selagi AUKU itu wujud, ia membelenggu semua yang tertakluk di bawah undang-undang yang tidak progresif itu, menyebabkan mereka takut untuk bersuara, bimbang menyampaikan idea dan tidak berani ke depan untuk menegur isu-isu berkaitan kepentingan suasana kampus dan daya pemupukan wacana intelek di medan kuliah.
''Telah diperlihatkan seandainya kita telusuri secara retrospektif, apa sahaja yang kritikal ataupun 'kelihatan kritikal', suara dan pihak itu akan mudah diugut dengan tindakan disiplin, digantung semester hingga ke tahap ekstrim seperti ditarik balik pinjaman, biasiswa dan ancaman dibuang daripada universiti dan kolej dengan pelbagai bukti sejak akta itu wujud," ujarnya.
Cabaran penghapusan AUKU dari aspek realpolitik, kata Rozan lagi adalah bagi tujuan menepis ulangan peluru serangan pembangkang apabila tibanya musim Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 dari pemuda PN.
Justeru, Rozan berharap Ketua AMK Malaysia yang baharu akan bertindak sebaik sahaja beliau memimpin sayap pemuda.
''Cabaran ini adalah tahap bayangan idealisme dan seterusnya pelaksanaan tanggungjawab cemerlang sekiranya beliau dipilih majoriti oleh para anggota sayap AMK seluruh negara untuk memegang mandat Ketua AMK Malaysia yang baharu bagi penggal seterusnya,'' katanya lagi.
Untuk rekod, perjuangan menghapuskan AUKU telah bergema sejak detik awal reformasi 1998 apabila mahasiswa universiti awam di negara ini yang menyertai demonstrasi aman pada waktu itu diambil tindakan.
Begitu juga yang menyertai politik pembangkang di kampus dikenakan pelbagai penindasan bagi mengekang pengaruh reformasi.
Kommentare