Surat sokongan tidak dianggap arahan meluluskan urusan kerajaan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Sebarang penyataan sokongan seperti “saya sokong”, “saya tiada halangan”, “disokong”, “sila beri pertimbangan” atau “untuk tindakan” oleh mana-mana Anggota Pentadbiran tidak boleh dianggap sebagai arahan untuk meluluskan sesuatu urusan kerajaan, demikian menurut satu dokumen kerajaan.
Perkara itu dinyatakan dalam Garis Panduan Pengendalian Sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam Urusan Kerajaan pada 21 Mei 2024 yang ditandatangani Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan bahawa frasa-frasa tersebut hanyalah untuk tujuan sokongan dan pertimbangan, bukannya pengaruh atau kelulusan muktamad.
Menurut Perdana Menteri, penjawat awam yang menerima sebarang bentuk sokongan daripada Anggota Pentadbiran wajib membuat pertimbangan dan keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang, peraturan dan tatacara semasa yang berkuat kuasa.
"Pihak berkuasa yang menerima apa-apa penyataan sokongan adalah tidak terikat dengan penyataan tersebut dalam proses membuat keputusan," jelas dokumen itu seperti dilihat Suara Keadilan.
Kata garis panduan tersebut langkah ini diambil bagi memastikan prinsip ketelusan, kebertanggungjawaban dan integriti diamalkan dalam semua urusan kerajaan, sekaligus mengelakkan sebarang bentuk percanggahan kepentingan, rasuah, penyelewengan, atau penyalahgunaan kuasa.
Garis panduan tersebut juga mewajibkan semua penerimaan permohonan sokongan dan pengeluaran penyataan sokongan didaftarkan dan difailkan untuk tujuan audit dan penilaian.
Selain itu, anggota pentadbiran dilarang sama sekali mengeluarkan sokongan jika wujud percanggahan kepentingan peribadi, dan mereka diwajibkan melaporkan sebarang tawaran suapan berkaitan pengeluaran sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dengan penguatkuasaan garis panduan ini, Kerajaan Malaysia berhasrat untuk memupuk budaya integriti yang tinggi dalam sistem pentadbiran bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kata dokumen itu.
Jelas garis panduan itu sekiranya terdapat percanggahan kepentingan, Anggota Pentadbiran hendaklah mengisytiharkan perkara tersebut dan menarik diri daripada mengeluarkan apa-apa sokongan atau melibatkan diri dalam sebarang proses membuat keputusan atau mempengaruhi penjawat awam atau agensi kerajaan untuk membuat keputusan.
"Sekiranya Anggota Pentadbiran diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa bentuk suapan sebagai balasan kepada pengeluaran sokongan dalam apa-apa urusan kerajaan, mereka diwajibkan melaporkan pemberian, janji atau tawaran suapan tersebut kepada pegawai SPRM atau pegawai polis yang paling hampir...," kata dokumen itu.
Terdahulu tular di media sosial mengenai dakwaan seorang pegawai kanan di Pejabat Perdana Menteri (PMO) didakwa memberikan surat sokongan berkaitan beberapa syarikat bagi projek Kementerian Kesihatan.
Dalam pada itu, sumber PMO menjelaska bahawa surat yang tular itu sebenarnya bukan surat sokongan.
"Ini surat untuk majukan (forward) permohonan yang PMO terima kepada agensi/kementerian yang berkenaan, dalam hal ini, untuk tindakan Menteri Kesihatan," kata sumber berkenaan.
Jelasnya, pejabat Perdana Menteri menerima banyak permohonan seperti itu dan ia merupakan tugas pegawai pegawai PMO untuk memastikan permohonan permohonan dan surat menyurat dikirim ke agensi dan kementerian berkenaan untuk tindakan mereka.
"Lulus atau tidak adalah keputusan agensi/kementerian berkenaan berdasarkan proses tatakelola dan penilaian (due diligence and assessment) masing masing," kata sumber itu lagi.









Comments