top of page

Sunting gambar biadap: Exco Selangor gesa polis ambil tindakan

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • 3 hours ago
  • 1 min read

Seorang Exco kerajaan Selangor mengecam hantaran di media sosial yang menyunting gambar khinzir mengenakan pakaian istiadat istana, mengaitkannya dengan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.


Sehubungan itu, Ng Sze Han (gambar) yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara mengesa pihak polis segera menyiasat pihak yang bertanggungjawab menyebarkan imej itu supaya hukuman berat selaras peruntukan undang-undang dapat segera diambil.


"Menyamakan mana-mana manusia dengan sifat binatang bukan sahaja tidak beradab malah turut melanggar norma serta tatasusila seorang rakyat Malaysia.


"Perkara ini merupakan cubaan yang mampu mendatangkan kacau bilau dalam negara yang memiliki rakyat berbilang bangsa," katanya menerusi satu kenyataan.


Dipetik laporan Selangorkini, gambar yang tular di media sosial sejak Sabtu itu turut mengandungi ayat yang menghina Sultan Selangor.


Akhbar berbahasa Mandarin, Oriental Daily yang logonya digunakan pada gambar tersebut menafikan terbabit dengan hantaran tersebut dan memaklumkan pihak mereka sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tindakan sewajarnya.


Manakala, laman Facebook Huayan The Pureland Learning Center yang didakwa memuatkan naik hantaran berkenaan tidak lagi boleh diakses selain hantaran asal tidak lagi ditemui.

Sementara itu, Ng dalam kenyataannya mengingatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kata-kata, gambaran menghina atau menjatuhkan mana-mana pihak.


Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut bukan sahaja tidak beretika, namun boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia yang sudah lama terbina.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page