top of page

Sungai Batang Kali masih berkeadaan baik, kerajaan Selangor terus pantau pencemaran



Laporan khas media Bernama 23 September lalu yang membayangkan Sungai Batang Kali di Daerah Hulu Selangor berpotensi tercemar berikutan aktiviti komersial di sepanjang alirannya tidak sepenuhnya benar.


Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian, memang berlaku aktiviti ternakan ikan talapia merah, eko-pelancongan dan mencuci pasir di kawasan berkenaan, namun katanya, agensi-agensi Kerajaan Negeri tetap mengambil langkah proaktif bagi memastikan setiap insiden pencemaran diambil tindakan segera bagi memastikan sumber air negeri Selangor terpelihara.


"Berikutan kepesatan pembangunan bagi tujuan kelangsungan hidup terdapat beberapa aktiviti yang melibatkan kerja tanah bagi tujuan pembangunan, penternakan, akuakultur, pengorekan dan pencucian pasir, pertanian, perumahan dan eko-pelancongan di kawasan Sg. Batang Kali.


"Berdasarkan rekod Majlis Daerah Hulu Selangor pada 2016 terdapat tujuh resort, chalet, inap desa di kawasan tersebut yang mana kedudukannya berhampiran Sg. Batang Kali dan Sg. Tamu.


"Semakan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati premis yang menjalankan aktiviti penternakan ikan yang berkeluasan 0.41 hektar berhampiran Sg. Batang Kali tersebut berdaftar dengan Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS) dan telah beroperasi selama 10 tahun dengan anggaran 29 kolam selain mempunyai Lesen Abstraksi Air LUAS yang masih sah sehingga 31 Disember tahun ini.


"Semakan juga mendapati aktiviti premis berkenaan tidak tertakluk dengan Lesen Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar LUAS kerana keluasannya kurang 50 hektar," kata Hee dalam satu kenyataan.


Menurut beliau lagi, Berdasarkan Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor (2019-2023), guna tanah utama di Hulu Selangor adalah kawasan hutan (51.70%) dan diikuti kawasan pertanian (35.67%).


Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti di kawasan aliran sungai tersebut telah dilesenkan oleh LUAS di bawah Peraturan-Peraturan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 yang mana melibatkan tiga aktiviti iaitu pencucian pasir dan dua aktiviti penternakan ayam.


Pihak LUAS juga telah mengeluarkan Kebenaran Bertulis Aktiviti Pengubahan Sumber kepada dua aktiviti pengorekan pasir dan dua aktiviti naik taraf jambatan dan tebing sungai, serta Lesen Abstraksi Air Permukaan melibatkan lapan premis yang terlibat termasuk aktiviti akuakultur tersebut.


"Sehingga kini, dilaporkan tiada sebarang aduan yang diterima berkaitan premis yang dilesenkan di kawasan berkenaan serta gangguan terhadap ekosistem di sungai tersebut. Pensampelan kualiti air dan pemantauan pematuhan lesen juga dilaksanakan oleh LUAS secara berkala.


"Berdasarkan rekod Jabatan Alam Sekitar pada 2014, Indeks Kualiti Air (IKA) Sg. Batang Kali adalah baik dan dikategorikan sebagai Kelas II dan masih kekal sehingga kini.


"Selain itu, berdasarkan rekod IKA di muka sauk loji rawatan air (LRA) Batang Kali dari 2019 sehingga 2021 di bahagian hilir juga kekal dalam keadaan baik iaitu Kelas II dan kualiti air Sg. Batang Kali menunjukkan tren peningkatan yang lebih baik setiap tahun dan tiada gangguan terhadap abstraksi muka sauk bekalan air," katanya lagi.


Tambah Hee, pihak LUAS bersama agensi-agensi terlibat sentiasa komited seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Jabatan Perikanan Negeri Selangor, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor (PDT Hulu Selangor) bagi menjalankan siasatan lanjut serta tindakan yang sewajarnya mengikut bidang kuasa masing-masing terhadap isu yang dilaporkan bagi

memastikan tiada kesan signifikan kepada kualiti Sg. Batang Kali


Sehubungan itu, kata Hee, pihak LUAS merakamkan penghargaan kepada pihak yang prihatin terhadap sumber air Selangor. Kerajaan Negeri Selangor, katanya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan dalam seksyen 79, Enakmen LUAS 1999.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page