
Sumbangan pihak swasta yang tidak putus-putus kepada Kerajaan Negeri menyemarakkan lagi program bakul makanan di peringkat DUN.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, penglibatan syarikat swasta telah bermula sejak awal pandemik Covid 19 bagi membantu golongan memerlukan di Selangor memperolehi bekalan makanan secukupnya.
"Hari ini kita terima dari Sime Darby Properties sebanyak 4,500 bakul makanan dan bantuan barangan makanan.
"Semenjak Perintah Kawalan Pergerakan pertama lagi kita secara konsisten telah mengedarkan lebih dari 2,000 bakul makanan kepada setiap DUN. Kali ini, dengan sumbangan ini maka lebih banyak lagi kita sampaikan di sekitar Parlimen Gombak ini.
"Lebih setahun Pusat Khidmat ini bergerak, saya ucap tahniah, berjalan dengan baik dan menepati rakyat dan terus membantu Kerajaan Negeri terutama dalam saringan Covid 19.
"Malah di sinilah tempat pertama yang mencecah 2,000 (penduduk menjalani saringan) di Gombak Setia ini, barulah diikuti tempat lain.
"Begitu juga dengan vaksin di buat di Dewan Siantan dan di sini. Saya rasa gembira dapat membantu penduduk dapat vaksin," katanya ketika selepas merasmikan Majlis Serahan Sumbangan, Pelancaran Skuad Bencana dan Penyerahan Bakul Makanan Sime Darby di Dewan Beringin Taman Seri Gombak, semalam.
Mengulas mengenai Skuad Bencana yang dilancarkan, Amirudin berkata, idea penubuhan skuad berkenaan baik untuk membantu penduduk dalam setiap DUN bersedia menghadapi sebarang bencana alam.
"Skuad bencana ini adalah pendekatan terbaharu, mereka ada kelengkapan dan pasukan ini boleh diwujudkan di DUN-DUN lain kerana kita berdepan juga situasi yang tidak dijangkakan, terutama musim tengkujuh.

"Pasukan ini sukarela. Bila ada kes tertentu mereka akan datang membantu pasukan bomba, Pihak Berkuasa Tempatan. Setakat ini pasukan ada 7 orang dan di peringkat kampung kita perlu latih lebih banyak orang yang kosisten untuk setiap DUN.
"Dengan kewujudan kumpulan ini kita boleh membantu ramai pihak dan dapat bersedia awal terhadap sebarang kemungkinan,," katanya lagi.
Jelajah MB di kawasan Parlimen Gombak itu turut merasmikan bangunan baharu Pusat Khidmat Rakyat (Penyelaras) Parlimen Gombak, di Taman samudera, Gombak.