Sultan Selangor titah ternakan babi di Kuala Langat dihenti, pindah ke Bukit Tagar
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Sultan Selangor menitahkan agar tiada lagi operasi penternakan babi di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat sekali gus operasi sedia ada hendaklah dihentikan secara beransur-ansur sebelum dipindahkan sepenuhnya ke kawasan Bukit Tagar
Sultan Sharafudin Idris Shah menitahkan, langkah itu perlu mengikut perancangan yang tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
"Kedua, satu kajian yang terperinci, serta bancian menyeluruh berasaskan data yang sah hendaklah dilaksanakan bagi mengenal
pasti statistik serta kuantiti sebenar keperluan dan permintaan daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.
"Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang tujuan atau perancangan untuk eksport hasil penternakan tersebut," demikian kata kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah hari ini.
Terdahulu Sultan Sharafudin berkenan menerima menghadap Exco Infrastruktur dan Pertanian Datuk Ir lzham Hashim dan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim di lstana Bukit Kayangan, Shah Alam.
Sultan Selangor telah meneliti secara mendalam perkara berkaitan pengurusan dan hala tuju operasi penternakan babi di
Selangor dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar serta keharmonian sosial di negeri ini.
Sehubungan itu, baginda memperkenankan agar satu dapatan kajian hendaklah dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti dan keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar, agar ia kekal pada tahap yang munasabah dan terkawal.
Baginda menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuklah di kawasan Bukit Tagar.
"Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
"Baginda berharap semua pihak yang terlibat dapat melaksanakan ketetapan ini dengan penuh tanggungjawab, berhemah dan mematuhi undang-undang, demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di Negeri Selangor sentiasa terpelihara," kata kenyataan berkenaan.









Comments