Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) seharusnya memulakan siasatan terhadap pendedahan video yang tular dalam beberapa hari ini bertajuk “Frontliners Reveal Truth About the Covid-19 Crisis in Klang Valley Hospitals” yang mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) melanggar hak asasi rakyat mengakses fasiliti kesihatan yang baik serta hak mendapatkan informasi yang sahih.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean, sangat penting pendedahan video tersebut disiasat oleh pihak ketiga seperti SUHAKAM kerana dakwaan itu mengenai Kerajaan Perdana Menteri Mahiaddin Yassin yang melanggar hak asasi manusia di sepanjang pemerintahannya.
Menurut Ker Chean, terdapat beberapa tuduhan serius daripada video tersebut yang wajar disiasat. Antaranya, dakwaan kerajaan PN memanipulasi data dan mengumumkan maklumat palsu tentang situasi Covid-19, khususnya bilangan kematian mangsa yang didakwa jauh lebih rendah daripada realiti.
"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga didakwa tidak memberi sokongan penuh serta menyulitkan keadaan dengan prosedur birokrasi terhadap permintaan frontliners yang mahu menyelamatkan nyawa warganegara.
"Termasuklah isu kekurangan pekerja perubatan, kekurangan bekalan ubat khas mengubati pesakit Covid-19, kekurangan tangki oksigen, serta kekurangan kelengkapan perubatan," katanya.
Tambah Ker Chean lagi, terdapat juga dakwaan kerajaan memperlekehkan usaha frontliners memerangi jangkitan Covid-19 dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang separuh masak dan strategi salah, mengakibatkan lebih banyak nyawa terkorban.
Begitu juga pelanggaran hak asasi frontliners dan hak pekerja oleh majikan seperti petugas yang tidak diberikan masa rehat mencukupi dan terdedah kepada risiko jangkitan virus Covid-19 kerana kecuaian Kerajaan PN, khususnya doktor kontrak, yang selalu diagihkan tugasan pada saat terakhir.
Menurut video itu, lebih ramai pesakit bukan Covid-19 didakwa akan terkorban kerana keadaan teruk di hospital menyebabkan kekurangan Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi menampungkan keperluan pembedahan pesakit yang berada dalam keadaan kritikal.
"Dakwaan ini bukan sahaja membuktikan kegagalan kerajaan Mahiaddin dalam memerangi penularan wabak Covid 19 selama 17 bulan ini, tetapi juga menonjolkan sikap menteri-menteri yang tidak berintegriti sampai sanggup menipu rakyat dengan maklumat palsu, sekiranya semua dakwaan dalam klip video itu adalah benar," kata Ker Chean lagi.
Tegasnya, Wanita KEADILAN mahu Mahiaddin dan kabinetnya bertanggungjawab penuh terhadap penderitaan dialami oleh rakyat dan nyawa yang terkorban akibat wabak Covid 19.
Menurut pergerakan itu lagi, siasatan wajar dilakukan secara turun padang ke hospital-hospital di Lembah Klang untuk meninjau keadaan dan memberi penjelasan kepada rakyat tentang situasi sebenar.
Comments