Suhaizan rayu pengundi PRN Johor pulang mengundi


Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kayat merayu pengundi khususnya yang berada di luar Johor untuk pulang dan mereka yang bekerja merancang waktu bagi membolehkan keluar mengundi pada Sabtu ini.
Menurut Suhaizan, pengundi terutamanya pengundi Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 kali ini sekiranya mempunyai sebarang ketidakpuasan hati.
"Jadi, ambillah peluang di Johor ini untuk kita kekalkan kestabilan politik di negeri seperti Kerajaan Perpaduan di Persekutuan," katanya dipetik laporan media.
Suhaizan yang juga calon bagi DUN N.44 Larkin sementara itu berkata, PRN kali ini akan menjadi petunjuk dalam memberi gambaran terhadap kestabilan politik mengikut acuan Kerajaan Persekutuan.
Justeru menjadi tugas penting buat semua pengundi pada PRN Johor kali ini untuk memastikan cita-cita dan hasrat Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan tercapai.
"Jika dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil yang mempunyai konsep kesepaduan seperti di peringkat Persekutuan, maka ia akan beri limpahan dan gambaran baik.
"Bagi menjayakan misi ini, kita tidak boleh hanya sekadar bertanding tanpa sokongan dan undian daripada pengundi," jelasnya.




Comments