Kerajaan akan terus mempergiatkan usaha memberi kefahaman kepada masyarakat khususnya golongan petani berhubung pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api diesel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan melalui satu sidang media semalam berkata, perkara pertama perlu diperjelaskan adalah permohonan skim penyasaran bahan api bagi golongan petani tidak hanya terhad kepada skim BUDI Agri-Komoditi semata-mata.
"Mereka perlu dijelaskan tentang kriteria serta skim lain yang boleh dimohon seperti jika mereka atau syarikat mempunyai kenderaan mengangkut barangan, mereka juga boleh memohon bantuan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) merangkumi 23 jenis kenderaan yang masih diberi harga semasa.
".. jadi tidak ada isu yang (kos) mereka naik dan mereka perlu menaikkan harga kerana harganya akan sama macam sekarang," katanya dipetik.
Amir Hamzah sebelumnya hadir ke sesi ramah mesra dan soal jawab kumpulan sasar Hari Terbuka BUDI MADANI Agro-Komoditi, di Klang pada Sabtu yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Sementara itu beliau berkata, setakat ini BUDI MADANI sudah menerima sebanyak 60,000 permohonan dengan 30,000 sudah diluluskan meliputi pemohon dalam kalangan individu, petani dan pekebun kecil komoditi.
Sementara itu, Mohamad berkata, kementeriannya terbuka untuk menerima sebarang aduan atau cadangan daripada golongan petani berkenaan pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi memastikan ia dapat dijalankan dengan baik.
Beliau turut memberi jaminan semua petani dan pekebun kecil yang menggunakan kenderaan berkaitan pertanian layak menerima subsidi bersasar menerusi Budi Agri-Komoditi.
Коментарі