Subjek baharu ‘Alam dan Manusia’ diperkenal, bentuk karakter murid tahap 1
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia: Pembelajaran Bersepadu pada murid Tahap 1 dalam Kurikulum Persekolahan 2027.
Menurut kenyataan KPM, langkah memperkenal mata pelajaran yang menggabungkan pelbagai disiplin ilmu termasuk sains, pendidikan kesihatan, muzik dan seni visual itu bertujuan memperkukuh kemahiran asas serta pembentukan karakter murid pada peringkat awal persekolahan.
"Mata pelajaran baharu ini menggantikan subjek Sains, Pendidikan Kesihatan, Pendidikan Seni Visual dan Pendidikan Muzik dalam kurikulum sedia ada.
"Ia akan menggabungkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta digital bagi memberi pengalaman pembelajaran lebih menyeluruh kepada murid," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Kementerian itu turut menjelaskan, pendekatan pengajaran akan dilaksanakan melalui kaedah pengajaran berpasukan atau ‘co-teaching’ bersama dua guru dalam satu kelas bagi memastikan penyampaian lebih holistik dan memenuhi keperluan pelbagai gaya pembelajaran murid.
"Pada Tahap 1, tumpuan utama diberi kepada penguasaan literasi, membaca, menulis, dan mengira (3M) serta pembentukan karakter.
"Oleh itu, jumlah mata pelajaran diminimumkan membolehkan murid menguasai kemahiran asas dengan lebih berkesan," tambah kenyataan tersebut.





