
Oleh: Helmi Mohd Foad
Masyarakat yang dahagakan pengetahuan mengenai dasar Madani yang diperkenalkan oleh Kerajaan Perpaduan boleh menambah pengetahuan mereka dengan mengikuti program bual bicara Suara Anak MADANI yang akan menemui penonton mulai 7 Disember ini.
Program hasil inisiatif Pejabat Setiausaha Politik Perdana Menteri itu turut membawakan suara rakyat untuk dibincangkan bersama ahli panel jemputan termasuk para pemimpin kerajaan.
"(Dalam program ini) Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bertindak sebagai moderator bersama.
"Suara Anak Madani adalah program yang (dijangka) dapat merapatkan jurang dalam perbincangan isu politik semasa dengan gaya lebih santai serta bahasa yang mudah difahami," kata kenyataan Pejabat Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri.
Menurut kenyataan itu, episod pertama bertajuk "Apa cerita setahun kerajaan Perpaduan Madani?" menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Udang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman.
Ia akan ditayangkan di platform YouTube Suara Anak Madani pada 7 Disember nanti bersempena setahun tahun kerajaan Madani.
Terdahulu ketika bercakap kepada pemberita selepas rakaman slot pertama program berkenaan, Shamsul Iskandar berkata program itu akan menjemput pemimpin kerajaan untuk tampil memberikan pandangan mereka.
"Kita memberikan ruang kepada menteri dan timbalan menteri untuk keluar setiap minggu memberikan pandangan mereka sekali gus menjawab kritikan oleh rakyat.
"Program ini juga boleh dijadikan sebuah platform bagi kerajaan untuk menjelaskan kepada rakyat, misalnya program atau agenda yang mereka (kerajaan) laksanakan atau akan laksanakan," katanya.
Program Suara Anak MADANI bakal disiarkan di platform Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Comments