Oleh: Noraini Nordin
Sempena Mesyuarat Agung Wanita KEADILAN peringkat cabang yang sedang berlangsung di seluruh negara, Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek menitipkan amanat untuk sama-sama dihayati anggota parti.
Dalam warkah amanatnya, beliau menekankan perlunya Mesyuarat Agung Wanita Cabang atau MAWTC sentiasa mengangkat suasana ukhwah dan persaudaraan yang harmoni, selain melakukan muhasabah secara kolektif dalam meneguhkan aspek kepimpinan.
Katanya, memandangkan KEADILAN kini sudah berada di tampuk pemerintahan nombor satu negara, peringatan untuk sentiasa menoleh ke suara akar umbi perlu dilakukan secara berterusan.
"Suara akar umbi sentiasa relevan dan vokal dalam menentukan hala tuju parti ini," ujarnya.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan mengambil contoh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Senator Fuziah Salleh, Dr Zaleha Mustafa, Nurul Izzah Anwar, Rodziah Ismail dan ramai lagi untuk dijadikan ikutan pemimpin wanita yang tumbuh daripada pasak KEADILAN, yang meletakkan “catalyst” utama dalam perjuangan dengan prinsip yang teguh serta keyakinan bahawa rakyat dan negara berhak untuk ditadbir atau dipimpin dengan lebih baik lagi.
"Ditambah dengan nuansa politik yang jauh berbeza, di mana UMNO yang dulu merupakan seteru sudah menjadi rakan dan DAP yang banyak berkorban walaupun mempunyai kerusi terbanyak, di samping rakan-rakan Borneo yang mempunyai setiakawan di mana semuanya itulah yang memungkinkan Kerajaan Perpaduan ini menjadi kuat, dinamik dan menjadi pilihan rakyat," kata Fadhlina.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu mengingatkan, memandangkan Kerajaan Perpaduan belum berusia satu tahun, cabaran utama di lapangan ialah untuk merangkul setiap kekuatan dan sedia menerima kelebihan serta kekurangan masing-masing.
"Di sinilah peranan sayap Wanita KEADILAN dapat dimainkan dengan agresif menjulang martabat madani," tambahnya.
Menurut Fadhlina lagi, hak wanita sebagai manusia adalah sama iaitu mewarisi keadilan, kemanusiaan dan hukum.
Tempat wanita, katanya, tidak hanya di sudut dapur, tidak di kamar terhias dan tidak di tepi taman menyiram orkid, tapi di sisi lelaki - di mana sahaja - daripada pejabat sampai ke bulan.
Malah, tegas beliau, keadaan itu bersesuaian dengan kedudukan Wanita KEADILAN kini yang sudah bertapak di kementerian, negeri, kerajaan tempatan serta kampus-kampus.
"Peranan agar kita mengakar di sektor awam dan swasta juga harus dipergiatkan melalui perlaksanaan program bersifat pendidikan, keusahawanan dan ekonomi," katanya.
Sebagai memperkuatkan lagi titipan amanat beliau, Fadhlina turut memetik puisi Sasterawan Negara, Usman Awang yang menyentuh peranan wanita untuk direnung oleh seluruh kepimpinan Wanita KEADILAN cabang di seluruh negara:
“Betapa mereka diperdagangkan,
Betapa mereka diperhamba,
Dari aturan lelaki feudalisma,
Betapa mereka diperalatkan,
Dan hari ini mereka mengangkat muka,
Untuk keadilan dan hak yang sama,
Wanita berani tidak lagi menangis,
Bangkitlah mereka dalam paduan setiakawan,
Satu kekuatan di bawah sayap tofan!”
Comentarios