STR: 8.6 juta terima bayaran Fasa 3 mulai Selasa
- Suara Keadilan
- 15 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Foad
Seramai 8.6 juta rakyat akan menerima bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 mulai esok (Selasa) melibatkan peruntukan berjumlah RM2 bilion.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, setiap penerima akan menerima bayaran sehingga RM650 mengikut kategori kelayakan masing-masing.
Jumlah penerima kali ini meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding 8.3 juta penerima pada Fasa 1 Januari lalu, hasil daripada langkah Kerajaan MADANI membuka permohonan baharu dan rayuan sepanjang tahun bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang layak, kata kenyataan itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembukaan permohonan dan rayuan tanpa had masa itu adalah bukti kerajaan tidak mengambil mudah amanah untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
Pembayaran akan dibuat kepada penerima sedia ada dan penerima baharu yang berdaftar dalam pangkalan data STR sama ada melalui pengkreditan ke akaun bank atau secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mengikut jadual berperingkat.
Orang awam boleh menyemak status kelayakan STR melalui portal rasmi di pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my dan dinasihatkan berwaspada terhadap pautan tidak sah yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Lebih daripada bantuan tunai semata-mata, STR memberi suntikan kepada penerima untuk mencapai kebebasan kewangan, agar kita dapat menggapai kesaksamaan yang didambakan dalam Ekonomi MADANI," kata Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam kenyataan hari ini.