top of page

STEM Camp 2025 galak minat pelajar Tingkatan Tiga ke arah aliran sains

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 21
  • 2 min read

Pelajar mengikuti STEM Camp 2025 teruja dengan pengetahuan sains dan matematik
Pelajar mengikuti STEM Camp 2025 teruja dengan pengetahuan sains dan matematik

Bagi menyahut usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dalam kalangan pelajar, Pertubuhan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan STEM Camp 2025 baru baru ini.


Seramai 200 pelajar Tingkatan Tiga daripada lima sekolah menengah di Kuantan dan Pekan menyertai program dua hari itu di kampus utama UMPSA Pekan.


Pengerusi WINK, Sridayu Samsuri, berkata program tersebut menjadi wadah penting untuk meransang minat pelajar agar memilih aliran sains ketika memasuki Tingkatan Empat.


"Program kerjasama bersama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA ini bertujuan untuk meransang minat para pelajar Tingkatan Tiga tahun ini, untuk memilih aliran sains ketika mereka memasuki Tingkatan Empat pada tahun hadapan," katanya.


Menurut beliau yang juga Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, program ini memasuki tahun kedua selepas kejayaan edisi 2024 yang turut dilaksanakan bersama Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM) UMPSA.

Pengarah STEM Camp 2025, Fakhrul Anuar
Pengarah STEM Camp 2025, Fakhrul Anuar

Sementara itu, Ketua Koordinator FTKPM UMPSA, Ts Dr Asrul Adam, memaklumkan sebanyak lapan modul STEM diperkenalkan kepada peserta, antaranya Artificial Intelligence (AI), Digital Learning, Fizik dan Robotik, Shock Absorber, Robot Coding, Rocket Launcher dan Robot Soccer.


Katanya, menerusi modul-modul berkenaan para pelajar dapat melihat bagaimana matematik dan sains digunakan secara praktikal, sekali gus membina kreativiti dan daya fikir mereka.


Pengarah STEM Camp 2025, Fakhrul Anuar Zulkawi pula menegaskan program yang ditaja MOSTI ini berjaya merapatkan hubungan antara komuniti dengan institusi pengajian tinggi.

Para peserta STEM Camp 2025 bergambar bersama
Para peserta STEM Camp 2025 bergambar bersama

"Libat urus program STEM yang berterusan di kalangan generasi muda mampu meningkatkan bilangan pelajar sekolah yang menceburi bidang sains dan teknologi di daerah Kuantan dan Pekan," katanya yang juga Ahli Majlis Bandaraya Kuantan merangkap Ketua Cabang KEADILAN Kuantan.


Majlis penutup disempurnakan oleh Muhamad Sapiee Meon, Ketua Penolong Pengarah Kanan (Sains & Matematik), mewakili Pengarah JPN Pahang. Turut hadir ialah pegawai pendidikan daerah Kuantan dan Pekan, Timbalan Dekan FTKPM UMPSA, pengetua sekolah serta pimpinan masyarakat setempat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page