Oleh: Abdullah Zaid
Sebagai anak jati Sungai Petani, calon Pakatan Harapan DUN N.28 Bakar Arang, Adam Loh Wei Chai (gambar, kiri) lebih memahami keperluan dan kehendak masyarakat di kerusi itu.
Justeru, berbekalkan pengalaman tiga tahun menjadi Pegawai Khas mantan ADUN Simon Ooi Tze Min, calon muda itu mengangkat dua agenda untuk membawa perubahan di DUN Bakar Arang.
"Dua aspirasi yang saya bawa ialah membina mini stadium di Kuala Muda, Yan kerana kita hanya bergantung di Alor Setar sahaja.
"Penduduk di sini juga mencecah hampir setengah juta, jadi perlu membina stadium bagi menampung kapasiti penduduk yang semakin padat di Sungai Petani ini.
"Kita tak mengharapkan satu stadium besar hanya satu mini stadium sahaja, ia sudah cukup untuk memberi berita gembira buat masyarakat di sini terutama anak muda kita sendiri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai manifesto yang hendak dibawa bagi menarik hati pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Selain itu, Adam yang berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan juga bertekad untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan lampu trafik yang semakin menjadi-jadi di kawasan itu.
Katanya, kesesakan lalu lintas mengganggu produktiviti rakyat di kawasan berkenaan.
"Sungai Petani juga banyak traffic light kalau saya kira dari arah Sungai Petani Selatan hingga ke Sungai Petani Utara ada 12 lampu trafik.
"Kalau satu traffic light mengambil masa 2 minit jadi kita telah habiskan hampir 30 minit untuk tiba di lokasi.
"Bayangkan dalam tempoh seminggu sahaja kita telah habiskan 3 jam untuk berada di kesesakan jalan raya," ujarnya.
Oleh itu, Naib Ketua Cabang KEADILAN Sungai Petani tersebut memberi beberapa langkah praktikal bagi menyelesaikan masalah yang membelenggu buat warga di Selatan Kedah itu.
"Sebab itu, saya berpandangan isu ini perlu diselesaikan melalui pelebaran jalan raya atau membuat fly-over di laluan trafik.
"Bagi isu traffic light, teknologi seperti Smart Traffic yang banyak digunakan di negara luar juga boleh di apply (aplikasi) di sini," katanya lagi.
Comments