Serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas pejabat Invoke Solutions Sdn Bhd yang diasaskan Timbalan Presiden KEADILAN Rafizi Ramli mungkin dilakukan untuk mencari sebarang 'peluru politik' pada saat saat akhir kempen sebelum hari mengundi.
Menurut Rafizi, beliau tiada masalah dengan serbuan berkenaan kerana dirinya tidak melakukan apa apa kesalahan.
Baginya, sekiranya berlaku sebarang pelanggaran undang undang maka pihak berkuasa tidak akan menunggu lama untuk mendakwa tokoh pembangkang sepertinya.
"Dalam kes Invoke ia adalah syarikat tertakluk kepada pelbagai undang undang, undang undang percukaian, undang undang syarikat, diaudit. Jadi kalau ada apa apa yang bermasalah saya dah lama kena.
"Kalau ada perkara yang tak betul saya sudah masuk jel. Dalam kes Invoke kita ada pelabur antarabangsa. Pelabur antarabanagsa kalau mahu melabur melakukan penyelidikan due diligence terlebih dahulu. Lembaga pengarah kami berkelayakan, sebahagian mereka adalah peneraju sektor korporat. Jadi saya tak ada kebimbangan langsung.
"Ia hanya ganggu gugat. Kedua, mereka menyelongkar semua benda berharap akan dapat sesuatu yang boleh dibuat peluru politik dalam dua tiga hari ini," katanya dalam sidang media di Ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya.
Dalam laporan Utusan Malaysia dipetik hari ini, Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM Hishamuddin Hashim mengesahkan serbuan itu dibuat berhubung laporan polis yang oleh sebuah NGO berkenaan pengisytiharan harta Rafizi yang mengumumkan aset bersihnya bernilai RM18.85 juta baru baru ini.
Bagaimanapun Rafizi beranggapan serbuan SPRM sebaliknya akan memberi kesan buruk kepada parti pemerintah kerana anak muda akan melihatnya percubaan untuk meneruskan sistem yang bobrok dan menekan pencabar politik.
"Kerana orang muda fahami apa yang kami cuba capai di Invoke. Kumpul anak-anak muda balik dari luar negara, kerja baik, dapat pelaburan, dengan harapan anak-anak muda boleh jalankan perniagaan sendiri.
"Umno tak faham, ia dekat kepada orang yang lebih muda. Usia 23 tahun boleh menjalankan syarikat.
"Ini serangan terhadap aspirasi golongan muda. Banyak peluang, tak perlu makan gaji, mereka boleh uruskan syarikat mereka sendiri, boleh dapat pelaburan dari luar negara.
"Lebih banyak mereka mahu lakukan intimidasi, semakin banyak kempen ini akan menjadi sebutan di kalangan pengundi muda," katanya lagi.
Comments