top of page

SPRM berjaya dapat semula RM23.9 juta hasil pemulihan aset 1MDB



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula wang berserta aset sejumlah RM23.9 juta hasil pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di dalam dan luar negara yang giat dijalankan.


SPRM dalam kenyataan berkata wang dan aset itu berjaya diperoleh sepanjang tahun lalu hingga bulan ini menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan sukarela lima individu dan ia telah dipulangkan semula kepada kerajaan.


"Kejayaan memperoleh semula wang tersebut adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada 2023 dan terbaru adalah pada 5 Februari lalu.


"Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated yang individu ini mempunyai kepentingan," kata kenyataan itu hari ini.


Kenyataan itu memberitahu, wang tersebut telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023.


SPRM berkata wang berjumlah AS$972,251.25 atau bersamaan RM4,551,399.45 telah dipulangkan kepada kerajaan pada 29 September tahun lepas menerusi penyerahan secara sukarela oleh Pegawai Khas kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Amhari Effendi menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.


Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur juga telah memberikan perintah melucut hak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri Najib, Mohammad Kamal Yan Yahaya, kata kenyataan itu.


SPRM berkata individu berkenaan yang mempunyai kepentingan telah menerima dana 1MDB menerusi projek Magnolia, Maximus dan Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Ltd di BSI Bank, Singapura.


"Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.


"Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Feb 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM," jelas kenyataan itu.


SPRM memaklumkan permohonan lucut hak itu dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001.


Suruhanjaya itu memberitahu, secara keseluruhannya dari 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion aset 1MDB berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page