SPRM anjur Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) akan menganjurkan Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Ke-5 Tahun 2026 pada 25 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Persidangan yang bertemakan “MADANI Pemangkin Tatakelola Berintegriti ke Arah Malaysia Bebas Rasuah” itu dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam usaha memperkukuh perkongsian pengetahuan dan dapatan penyelidikan berkaitan tatakelola, integriti serta antirasuah.
Pengarah Kanan BPGN SPRM, Datuk Idris Zaharudin berkata, persidangan berkenaan menyediakan ruang kepada penyelidik, perancang dasar, pengamal serta pemegang taruh untuk berkongsi hasil kajian, bertukar pandangan dan menilai pendekatan bersesuaian dalam menangani cabaran semasa berkaitan tatakelola, integriti dan risiko rasuah.
Enam kertas kerja dibentang
Menurut beliau, sebanyak enam kertas projek penyelidikan akan dibentangkan pada persidangan itu, melibatkan penyelidik daripada enam institusi pengajian tinggi tempatan iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).
Katanya, persidangan berkenaan bukan sekadar menjadi medan pembentangan hasil penyelidikan, malah turut menyediakan ruang untuk dapatan dan syor dikongsi secara terbuka bersama pemegang taruh berkaitan bagi dipertimbangkan sebagai input kepada usaha penambahbaikan tatakelola, integriti serta pencegahan rasuah.
Beliau berkata, penglibatan institusi penyelidikan turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara SPRM dengan pihak akademik dalam menghasilkan kajian yang dapat memberikan gambaran lebih menyeluruh mengenai isu tatakelola, integriti dan antirasuah.
Menyumbang pengembangan ilmu
Tambahnya, dapatan penyelidikan yang dibentangkan diharapkan dapat menyumbang kepada pengembangan ilmu serta menjadi input kepada pihak berkepentingan dalam merangka pendekatan, strategi dan tindakan bagi memperkukuh tatakelola berintegriti serta merealisasikan aspirasi Malaysia bebas rasuah.
Persidangan itu juga diharap dapat memperkukuh kesedaran dan komitmen semua pihak terhadap kepentingan tatakelola dan integriti, selain membudayakan nilai antirasuah dalam organisasi dan masyarakat.
Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah merupakan agenda tahunan SPRM yang menjadi platform bagi memperkasa perkongsian hasil penyelidikan serta menghubungkan dapatan akademik dengan keperluan sebenar dalam usaha membina sebuah negara yang mempunyai tatakelola kukuh, berintegriti dan bebas rasuah.




Comments