SPNB Pahang anjur taklimat Rumah Mesra Rakyat, buka peluang rakyat miliki rumah
- Suara Keadilan
- 4 minutes ago
- 1 min read

Usaha meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40 terus diperkasa apabila Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) memperkenalkan inisiatif Rumah Mesra Rakyat (RMR) bagi keluarga berpendapatan isi rumah bulanan kurang daripada RM5,000.
Bagi menyahut inisiatif ini, SPNB Pahang telah mengadakan sesi taklimat bersama Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Pahang di pejabat SPNB Kuantan, yang disampaikan oleh Pengarah SPNB Negeri Pahang, Abdul Latif Mansor bersama pegawai pengurusan agensi itu.
Menurut Abdul Latif, projek RMR memberi peluang kepada pemohon yang layak dan mempunyai tanah sekurang-kurangnya 3,000 kaki persegi untuk memiliki sebuah rumah satu tingkat berkeluasan 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air.
Harga asal rumah adalah RM75,000, namun pemohon yang berjaya akan menerima diskaun RM20,000, menjadikan harga yang perlu dibayar hanyalah RM55,000. Bayaran boleh dibuat secara tunai atau melalui ansuran serendah RM300 sebulan untuk tempoh maksimum 16 tahun.
Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, menyambut baik usaha ini dan menggesa rakyat khususnya anak muda untuk merebut peluang tersebut.
"Inisiatif Rumah Mesra Rakyat di bawah SPNB ini wajar direbut oleh rakyat berusia 18 tahun ke atas. Ia peluang terbaik bagi mereka yang berpendapatan rendah untuk memiliki rumah sendiri," katanya.
Program ini diyakini dapat membantu lebih ramai rakyat B40 memiliki kediaman sendiri sekaligus meningkatkan taraf hidup masyarakat.