Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun membuat keputusan untuk menolak usul untuk merujuk Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata beliau kecewa dengan keputusan itu kerana speaker enggan mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Hari ini Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memutuskan bahawa perbuatan YB Tasek Gelugor pada 30 November lalu iaitu mengira YB Padang Rengas sebagai mengundi ‘sokong’ walaupun YB Pasang Rengas tiada dalam Dewan Rakyat pada waktu itu sebagai tidak mengelirukan Dewan.
"Ini keputusan yang saya kesali dan memberi mesej yang salah dari segi proses pengundian belahbahagian. Seharusnya Dewan mengambil tindakan yang tegas, bukan setakat ini sahaja. Malang," katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Dalam surat yang ditulis oleh Azhar, beliau menyifatkan tindakan Shabudin tidak mengelirukan Dewan.
"Setelah meneliti semua dokumen dan keterangan yang ada di hadapan saya, saya mendapati perbuatan Yang Berhormat Tasek Gelugor tersilap mengira undi tidak terjumlah kepada suatu kenyataan yang yang mengelirukan Dewan yang boleh disifatkan sebagai menghina Majlis menurut Peraturan Mesyuarat 36(12).
"Oleh yang demikian, saya menolak usul Yang Berhormat yang berkenaan," katanya.
Comentários