top of page

SOP kempen ketat, sambutan rakyat dingin, SPR perlu kaji semula peraturan kempen - Halim



Prosedur Operasi Piawai (SOP) berkempen yang amat ketat menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini berjalan dalam suasana yang amat dingin dan tidak mendapat sambutan rakyat.


Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Datuk Halim Bachik, keadaan itu memperlihatkan suasana pilihan raya yang tidak langsung dirasakan di Melaka dan tidak mustahil dakwanya, kadar keluar mengundi akan merosot teruk pada 20 November ini.


"Melaka berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. Sekolah dibuka, pasar raya dibuka, pejabat dibuka, kenduri dibenarka, aktiviti sukan dibenarkan, penonton boleh masuk stadium.


"Kami berasa ada beberapa cara berkempen yang boleh dibuat mengikut SOP dibenarkan.


"Kami setuju mendokong usaha menyekat penyebaran Covid 19. Namun dalam masa sama usaha menyuburkan demokrasi di dalam PRN sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan wajib ditegakkan.


"Setiap pengundi wajib mengetahui sosok calon yang mereka akan pilih. Namun suasana kempen yang muram tidak seperti pilihan raya ini memberi kesan kepada pengundi. Kalau kempen tidak dibenarkan maka suasana ini juga tidak sesuai untuk mereka turun mengundi," katanya dalam sidang media pimpinan PH, sebentar tadi.


Halim meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melonggarkan SOP berkempen atau kadar keluar mengundi yang rendah akan berlaku dan menyebabkan keputusan PRN diragui.


Katanya, andai peratusan keluar mengundi di bawah 50% maka keputusa PRN tentu sekali bukan merupakan keputusan majoriti rakyat.


"SPR perlu memikirkan apa akan jadi jika 30% pengundi yang keluar mengundi. Apakah calon yang menang nanti mewakili majoriti rakyat kerana 70% tidak keluar mengundi?


"Dengan ini kami mencadangkan sedikit penambahbaikan. Misalnya kenderaan siar raya berhenti 10 - 25 minit di setiap lokasi supaya isi siaran dapat didengar dengan jelas.


"Walkabout dibenarkan dengan penglibatan kurang 5 orang di lokasi dibenarkan. Juga benarkan penghantaran risalah dari rumah ke rumah dan bersemuka mengikut tempoh masa yang ditetapkan tanpa perlu memasuki premis," katanya.


Sementara itu, dalam sidang media sama, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari mengajak SPR memikirkan kaedah bertemu rakyat yang digunakan ketika Covid 19 masih mengganas beberapa bulan lalu.


Menurut beliau, terdapat program Kerajaan Negeri yang menggunakan kaedah pandu lalu dan boleh dilaksanakan dalam kempen PRN kali ini sekiranya SPR menetapkan SOPnya.


"Saya kira pihak SPR harus melihat pelaksanaan amalan baik ketika pilihan raya waktu pandemik sebagaimana dilakukan oleh negara lain yang menganjurkan pilihan raya.


"Juga program Kerajaan, kita menyampaikan bantuan, program hari raya secara pandu lalu. Kalau itu kita boleh lakukan maka kempen juga boleh dilaksanakan secara pandu lalu


"Pengunjung datang dengan kereta, duduk di satu tempat dan mendengar apa yang ditawarkan oleh calon yang bertanding. Ini saya rasa boleh diaturkan dengan baik dan penyusunan di lokasi tertentu.


"Ini meningkatkan penglibatan rakyat dalam demokrasi. Apa yang agak malang bagi saya suasana seperti total black out kepada semua parti bertanding. Ini sesuatu yang merugikan dan rakyat kerana mereka gagal membuat pertimbangan terhadap pilihan raya," katanya.


Selain itu, Amirudin turut berharap SPR bertimbangrasa dan tidak menjadikan PRN Melaka sebagai ujikaji peraturan kerana yang diperjudikan adalah nasib rakyat yang memilih kerajaan.


"Kita baru masuk hari kedua kempen. Ada 8 hari lagi. Saya harap melaka tidak dijadikan bahan ujikaji perkara tidak logik dan menggadaikan masa depan rakyat untuk 5 tahun akan datang.


"Mandat 5 tahun dan rakyat perlu diberi peluang untuk mendapat akses (tawaran) dari calon yang bertanding," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page