top of page

SOP dan arahan kerajaan kelirukan rakyat, ini bukan bahan ketawa - Anwar


Pengumuman Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang jelas menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Presiden KEADILAN itu berkata, kerajaan seolah-olah masih bergelut untuk mencari kaedah terbaik bagi menangani peningkatan kes wabak COVID-19 serta strategi memulihkan semula ekonomi negara.


"Terdapat banyak kekeliruan terkait SOP dan arahan bekerja dari rumah yang diumumkan menteri berkaitan. Ini bukan bahan ketawa tatkala melibatkan atau mengesankan kehidupan jutaan rakyat di Lembah Klang.


"Meski kita telah lapan bulan sejak diumumkan PKP, nampaknya kita masih belum jelas soal stategi kerajaan dalam menangani kemelut ini, dan tentang bagaimana harus dibangunkan semula ekonomi.


"Tetapi apa yang disajikan kepada rakyat adalah arahan atau panduan yang bertembung, termasuk amalan antara dua darjat dalam pelaksanaan hukuman," katanya.


Anwar juga mempersoalkan arahan bekerja dari rumah yang dianggap tidak cukup efektif untuk mengimbangi tugas memerangi COVID-19 dan pada masa yang sama memulihkan ekonomi negara.


"Arahan bekerja dari rumah baru-baru ini ternyata tidak masuk akal apabila ia hanya mengarahkan staf-staf untuk bekerja dari rumah, manakala yang berada di bahagian operasi yang terdiri dari mereka yang berpendapatan rendah dikehendaki untuk bekerja seperti biasa.


"Bagaimana ini dapat membantu aspek kesihatan awam dengan mengorbankan pekerja kolar biru?


"Perubahan di saat akhir, termasuk arahan yang melibatkan pekerja sektor awam dan sektor yang di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) benar-benar menambah rumit orang ramai dan membazir masa semua," katanya.


Anwar juga berpandangan bahawa selagi kerajaan masih belum mempunyai dasar dan pendirian yang jelas, ekonomi negara akan terus berada dalam keadaan yang runcing.


"Kita perlukan kerajaan yang telus dan informatif, terutamanya melibatkan dasar yang jelas dalam mendepani kemelut. Ia tidak membina keyakinan, sama ada domestik ataupun kepada para pelabur luar apabila kenyataan-kenyataan penting dibuat tanpa kajian yang menyeluruh.


"Meski kerajaan mengumumkan bahawa aktiviti ekonomi dibenarkan, namun panduan terkini ternyata akan memberi dampak pada perniagaan, terutamanya kepada mereka yang kini sedang bergelut dalam sektor peruncitan.


"Menurut Retail Group Malaysia (RGM), kira-kira 51,000, iaitu sebanyak 15% dari jumlah keseluruhan industri di Malaysia tidak mampu bertahan lebih dari empat atau lima bulan mendatang," katanya.


Justeru, Anwar mengulangi gesaan terhadap kerajaan untuk melanjutkan moratorium pinjaman.


"Langkah ini sekurang-kurangnya akan membantu sektor perniagaan dan rakyat dalam menempuh kemelut ini, yang dijangka akan berpanjangan.


"Kerajaan harus tonjolkan kepimpinan yang punya kualiti dengan melanjutkan moratorium pinjaman untuk tiga bulan lagi.


"Langkah tambahan adalah diperlukan bagi menopang industri kecil, dan gaji kepada pekerja sehingga tamat PKP.


"Adalah tidak mengejutkan tatkala kerajaan terus senyap terkait golongan berpendapatan rendah, kerana yang lebih diutamakan adalah syarikat-syarikat mega yang dekat dengan pundak kuasa," katanya.

0 comments

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page