Solidariti Wanita KEADILAN teguh bersama perjuangan rakyat Palestin
- Suara Keadilan
- Oct 24, 2023
- 1 min read

Oleh: Noraini Nordin
Wanita KEADILAN terus teguh membela perjuangan rakyat Palestin dan menyeru agar perang segera dihentikan.
Wanita KEADILAN juga kekal bersolidariti bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka mengharungi konflik peperangan ketika ini dan dalam perjuangan panjang untuk menuntut sebuah negara yang merdeka.
Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek berkata selain bersuara meminta perang dihentikan Wanita KEADILAN turut telah memberi sumbangan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
"Kami tidak pernah melupakan rakyat Palestin yang sedang menderita diserang hebat. Serangan kejam tanpa henti.
"Apatah lagi mengenangkan nasib anak-anak, wanita dan warga emas," katanya selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita Pusat di Ibu Pejabat KEADILAN, baru baru ini.
Menurut beliau lagi, pihaknya juga akan sentiasa bersama-sama dengan pendirian Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membela rakyat Palestin.
Dalam pada itu Wanita KEADILAN Pusat akan berusaha menghantar seramai mungkin wakil dalam Himpunan Malaysia Bersama Palestin yang diadakan malam ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Menurut Fadhlina, bukan sahaja himpunan malam ini, Wanita KEADILAN juga sentiasa hadir dan bersama dalam pelbagai himpunan berkaitan Palestin yang diadakan sebelum ini.
Beliau menyeru supaya rakyat Malaysia turut bersama-sama menghadiri himpunan malam ini sebagai tanda solidariti kepada perjuangan rakyat Palestin.
Comentários