Sokongan Warisan menurun, tidak mungkin bentuk kerajaan bersendirian - Penganalisis
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Politik Sabah berubah pantas menjelang hari pengundian pada 29 November ini apabila penganalisis politik meramalkan tiada satu parti pun mampu membentuk kerajaan secara bersendirian.
Hal itu bertentangan dengan jangkaan beberapa bulan lalu ketika isu kematian Allahyarhamah Zara Qairina memuncak, yang mana arus sokongan ke atas parti tempatan seperti Warisan cukup tinggi dan memungkinkan parti berkenaan melepasi majoriti mudah 37 kerusi daripada 73 DUN yang dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRN) Sabah.
Bagi penganalisis bebas, Muhammad Alimin, kemerosotan pengaruh Warisan menjelang hari pengundian berpunca daripada keputusan parti itu untuk bertanding secara solo dalam PRN kali ini.
Katanya, keengganan Warisan membentuk koalisi sebagaimana beberapa parti kerajaan yang lain menyebabkan pengundi Atas Pagar khususnya di kawasan pantai barat Sabah mempertimbangkan untuk menyokong Pakatan Harapan (PH) yang lebih diyakini akan membentuk kerajaan.
"Kekuatan Warisan kini hanya tertumpu di pantai timur Sabah (Melayu dan Bumiputera), namun pengundi muda generasi Z berpihak kepada kerajaan semasa (PH).
"Di utara Sabah, (sokongan terhadap Warisan) memang terhakis habis dengan wujudnya Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) iaitu parti serpihan Warisan.
"Di (kawasan) barat Sabah, sokongan makin kukuh kepada PH manakala di selatan Sabah, BN masih mendahului dengan bantuan pengundi PH, dan dijangka tidak sukar untuk calon PH atau BN untuk menang," katanya.
Beliau diminta mengulas sejauh mana sokongan terhadap Warisan selepas seminggu kempen dan dapatan penganalisis bahawa parti yang mendominasi isu Sabah itu mungkin mendapat kurang 25 kerusi.
Mengulas lanjut, Muhammad Alimin berpendapat, isu Zara Qairina pada waktu ini tidak lagi memberikan kesan meningkatkan undi kepada Warisan sebagaimana parti itu berjaya menunggang isu berkenaan pada Ogos-September lalu.
Beliau menjangkakan Warisan hanya mampu memenangi sekitar 15 kerusi, namun dengan lebih daripada dua pertiga kebarangkalian, kemungkinan parti itu hanya akan menawan kurang daripada jumlah tersebut.
Ditanya sama ada gabungan BN-PH-GRS mampu menubuhkan kerajaan selepas 29 November memandangkan undi Kadazan-Dusun-Murut pada waktu ini berpecah, Muhammad Alimin berkata, jika GRS berjaya menggerakkan semua pengundi mereka, Datuk Seri Hajiji Noor mungkin kekal sebagai Ketua Menteri.
Manakala sekiranya BN pada saat akhir berjaya menarik segmen pengundi muda, tidak mustahil BN akan menjadi parti terbesar di DUN Sabah.
"Jika BN berjaya menarik sokongan pengundi muda Gen Z (undi 18), Datuk Seri Bung Moktar berpotensi menjadi Ketua Menteri. Sekali lagi membentuk kerajaan secara mudah dengan PH," katanya lagi.





