Sokongan kepada Kerajaan Selangor 70%, tetapi jangan lalai - MB Amirudin


Kerajaan Perpaduan di Selangor dijangka tidak mempunyai banyak masalah untuk mengekalkan kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai atau Ogos ini.
Namun begitu menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, keadaan tetap belum selesa kerana pihak pembangkang akan melakukan apa sahaja cara untuk memastikan mereka berpeluang menang seberapa banyak kerusi yang termampu.
"Ada beberapa penelitian yang dibuat oleh pasukan kita semenjak November hingga sekarang. InshaAllah rakyat sedia beri sokongan. Malah sokongan rakyat kepada kerajaan Selangor pada 26 Mei lepas paling tinggi dalam sejarah. Iaitu lebih 70%. orang Melayu, Cina, India berpuas hati
"Sekarang kerja kita adalah mencari mereka. Jangan mereka mudah ditipu dan terpedaya. Atau paling kurang mereka dilemah semangat untuk keluar mengundi.
"Ini boleh jadi sebab ini PRN ini selepas 7 bulan (PRU). Macam macam helah akan dibuat. Tahu nak kalah, mereka akan sabotaj. Mereka boleh buat apa sahaja. Orang ini sebahagiannya saya kenal. Kalau parti dia boleh khianat, pemimpin macam ini tentu boleh buat macam macam. Kita tidak boleh terlalu selesa," katanya dalam ceramah di Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan Selangor, malam tadi di Kampung Permatang, Kuala Selangor.
Bagi pihak Pakatan Harapan (PH) Selangor, kata Amirudin, kempen kesedaran yang perlu ditekankan kepada pengundi adalah perlunya Kerajaan Negeri dan Persekutuan daripada gabungan yang sama.
Tambah Amirudin, melalui pengalaman beliau sebagai Exco dan juga MB, banyak perkara yang tertangguh apabila parti yang memerintah di pusat tidak sama dengan negeri.
Jadi, katanya, rakyat perlu diberitahu sekarang adalah waktunya untuk Selangor menyelaraskan semua haknya di bawah Persekutuan bagi mempercepatkan lagi kemajuan negeri dengan sokongan Persekutuan.
"Kenapa kita harus kerja keras untuk pastikan PH dan sekutu kita dalam Kerajaan Perpaduan menang bergaya di Selangor? Sebab ini adalah masa terbaik untuk kita selaras balik dengan Kerajaan Persekutuan. Bila Kerajaan Negeri dan Persekutuan tidak dalam nada sama, misalnya saya alami waktu jadi Exco dan MB, kadang kadang kita nak ambil hak kita pun dihalang.
"Kerajaan Negeri dalam pembelian dan perolehan vaksin Covid 19 menunjukkan Selangor beli 900,000 vaksin untuk percepatkan rakyat mencapai imuniti
"Namun begitu sukarnya dengan pihak Persekutuan (beri kelulusan) yang niatnya kita tidak tahu. Kerajaan Negeri mulakan awal bulan Ogos, kita kata biar Kerajaan Negeri beli tetapi pada masa itu kita tidak dibenarkan ambil (beli) vaksin untuk pusingan kedua. Saya tidak faham kerajaan pusat ketika itu halang untuk percepat vaksinisasi.
"Penstrukturan air Selangor pula hanya selesai pada 2019. Mula zaman MB Khir Toyo (sebelum 2008) selesai zaman Amirudin Shari. Kenapa tak selesai? Sebab ada beberapa pertikaian, seperti pengambilan Splash, nak umum nilai Splash pun susah, akhirnya selesai pada waktu kerajaan pusat bertukar pada 2018," katanya.
Selain itu, Amirudin juga membangkikan bantuan yang diberikan kepada golongan petani di Selangor yang terus diambil berat kebajikan mereka oleh Kerajaan Negeri.
Malah, katanya Kerajaan negeri telah memperkenalkan Sabak Bernam Development Area atau Sabda yang akan meningkatkan lagi kemajuan di kawasan yang menjadi tumpuan pertanian di Selangor.
Pada waktu ini, katanya, dengan pemberian duit raya oleh Kerajaan Persekutuan serta bantuan Kerajaan Negeri, petani di Selangor telah menerima bantuan tunai sebanyak RM900.
Dalam majlis malam tadi juga, MB telah melancarkan eLMAS, sebuah aplikasi data pengundi yang memudahkan proses berkempen PH Selangor pada PRN kali ini juga melancarkan Jentera Pilihan Raya AMK dan Wanita Keadilan Selangor.




Comments