Sokong pertumbuhan industri AI domestik, pemindahan cip perlukan permit
- Suara Keadilan
- 49 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan komited menetapkan matlamat memastikan syarikat dan industri tempatan mempunyai akses terkawal, berdaya saing dan selamat ke atas cip serta platform kecerdasan buatan (AI) global, selaras dengan pelan strategik semikonduktor kebangsaan dan agenda transformasi digital negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bagi mencapai objektif tersebut, beberapa strategi utama sedang dan akan digerakkan oleh pihak kerajaan.
"Bagi memastikan persekitaran perdagangan yang selamat dan telus, MITI melalui Akta Perdagangan Strategik 2010 pada 14 Julai 2025 telah membuat penetapan bahawa semua aktiviti eksport, transit dan pemindahan bagi cip AI memerlukan permit.
"Langkah ini selaras dengan komitmen Malaysia untuk menjamin kesinambungan rantaian bekalan dalam semikonduktor global dan menyokong pertumbuhan industri AI domestik secara selamat.
"Kerajaan juga giat memperkukuh keupayaan pusat data, rangkaian berprestasi tinggi serta pembangunan keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan reka bentuk litar bersepadu.
"Selaras dengan itu, Malaysia telah memperkenalkan visi silikon yang memberi fokus kepada pembangunan cip AI buatan Malaysia," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan R Yuneswaran [PH-Segamat] mengenai strategi Kementerian untuk memastikan syarikat-syarikat dan industri yang berpangkalan di Malaysia boleh menggunakan cip AI yang berasal dari Amerika Syarikat (seperti NVIDIA) dan Republik Rakyat China (seperti Huawei Ascend).
Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul berkata, kerjasama strategik dengan syarikat ARM Limited membolehkan syarikat Malaysia untuk mengakses ‘intellectual property ARM’ yang berupaya mempercepat pembangunan cip AI tempatan.
Di samping itu katanya, kerajaan juga terus menggalakkan pembangunan teknologi AI tempatan yang mampu menembusi pasaran global.
"Syarikat otomasi tempatan seperti ViTrox dan juga Pentamaster telah mula mengintegrasikan AI dalam produk mereka dan ini membuktikan keupayaan Malaysia untuk menyumbang kepada rantaian nilai global dalam bidang AI dan semikonduktor.
"Pada masa sama, kerajaan secara berterusan menjalinkan hubungan dengan syarikat teknologi global dan rakan dagang utama bagi memperkukuh akses pasaran serta pemindahan teknologi.
"Sebagai contoh Malaysia sedang berunding membangunkan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat (ART) dalam usaha memastikan perdagangan antara Malaysia dan AS kekal makmur," ujarnya lagi.





